suria

Jaga Hati Sahabat, Azadan Ambil Masa Empat Tahun Jadi Duta Produk

Azadan dilantik sebagai duta produk barangan Sidra Care. FOTO: IRSYADI ISMAIL
KUALA LUMPUR: Ketua Kumpulan Rabbani iaitu Azadan mengambil masa agak lama iaitu kira-kira empat tahun untuk menerima tawaran sebagai duta produk tanpa penglibatan ahli kumpulannya.

Azadan Abdul Aziz, 43,  berkata, dia ambik masa panjang tersebut bagi menerangkan perkara itu secara jelas kepada ahli kumpulannya yang lain agar tiada hati yang terguris.

"Tawaran untuk jadi duta produk sejak empat tahun lalu tetapi saya berfikir panjang kerana timbul rasa serba salah dengan ahli kumpulan lain.

"Selain itu saya banyak berfikir tentang pandangan masyarakat terhadap saya dengan Rabbani. Jadi saya ambil tempoh panjang untuk jelaskan kepada mereka kenapa saya menerima tawaran tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Azadan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media perlantikannya sebagai duta produk Sidra Care di Restoran D'saji, di sini pada Isnin.

Rabbani turut dianggotai oleh Rahmat Syafie, Asri Ubaidullah, Mohd. Rithaudden Yaakob, Mohd. Nazim Mohd dan Loqman Abd. Aziz.

Azadan (tiga dari kiri) bersama anggota kumpulan Rabbani. FOTO: IRSYADI ISMAIL

Dalam pada itu, Azadan berkata, dia meletakkan syarat kepada pengeluar produk berkenaan agar mendermakan beberapa peratus keuntungan yang diperoleh kepada sekolah tahfiz.

Katanya, syarat tersebut juga membuatkan ahli kumpulan lain bersetuju dan faham keputusannya menerima tawaran tersebut.

"Mereka faham tindakan yang saya ambil ini dan setuju.  Mereka tahu beberapa peratus hasil jualan akan didermakan kepada pihak yang memerlukan," ujarnya.

Sementara itu, Azadan berkata, dia dilantik menjadi duta produk Sidra Care selama dua tahun.

Dia bersetuju menjadi jurucakap jenama berkenaan selepas mencuba beberapa produk keluaran syarikat AAY Permata Trading itu.

"Sebelum ini saya memang pelanggan setia dan sering membeli produk tersebut dengan jumlah yang banyak," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang perkembangan kumpulan tersebut, Azadan berkata, dia dalam proses menyiapkan single terbaharu ciptaan komposer terkenal Edry Abdul Halim.

Katanya, buat masa ini mereka masih menilai tiga buah lagu untuk dipilih dan dirakamkan dalam masa terdekat.

"Alhamdulillah kami baru dapat lagu daripada Edry dan sedang buat pilihan lagu yang sesuai.

"Insya-Allah, kita akan buat rakaman secepat mungkin kerana sudah lama tidak muncul dengan produk baru," ujarnya.
Azadan

Artikel Lain