suria

Mia Ahmad Enggan Ulas Isu Timbulkan Masalah Dengan Produksi

Mia Ahmad mahu berdiam diri selepas dia didakwa membatalkan kemunculan dalam drama terbitan Global Station berjudul Akad Ku Yang Terakhir pada saat-saat akhir. Foto Ihsan Instagram @mia.ahmad
PETALING JAYA: Pelakon Mia Ahmad mengambil pendekatan berdiam diri selepas dia dikatakan menimbulkan masalah selepas membatalkan kemunculan dalam drama terbitan Global Station berjudul Akad Ku Yang Terakhir pada saat-saat akhir.

Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 28, berkata, walaupun dia ingin mempertahankan diri berhubung dakwaan tersebut namun dia merasakan tindakannya itu akan menjadi sia-sia kerana ia tidak akan mengubah keadaan.

"Saya berdiam diri bukan bererti saya berada di pihak salah. Saya mahu pertahankan diri saya dan begitu juga dengan pihak mereka.

"Bagaimanapun kalau banyak saya bercakap, ia tidak akan mengubah apa-apa lagi dan perkara pun telah berlaku," katanya kepada mStar Online.

Menerusi ruangan gosip sebuah akhbar mingguan, Mia sebelum itu dikatakan bersetuju untuk membintangi drama bersiri 43 episod itu namun dia tidak muncul sewaktu sesi pembacaan skrip diadakan.

Pihak pengurusannya pula dikatakan memberikan pelbagai alasan berhubung penarikan diri aktres tersebut.

Bagaimanapun Mia dikatakan menarik diri kerana mahu bekerja dengan produksi lain untuk siaran sebuah stesen televisyen popular.

Dalam pada itu Mia berkata, dia enggan mengulas kerana bimbang kenyataannya itu nanti akan disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak.

Malah dia tidak mahu kenyataannya itu nanti akan menyebabkan isu berkenaan berlarutan yang pada akhirnya memberi kesan kepada namanya dan pihak pengurusannya.

"Perkara ini sudah pun terjadi dan dengan mengulas lebih panjang akan menyebabkan lebih banyak salah faham.

"Apa yang boleh saya katakan, saya belajar daripada apa yang berlaku dan seikhlas hati saya memohon maaf di atas apa yang terjadi dan terima kasih atas peluang dan teguran diberikan," katanya.
Mia Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain