suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Wang tunai RM2,000 dalam bagasi ‘check-in’ lesap ketika solo travel di Eropah... Penting periksa ‘luggage’, elak simpan 6 barang ini

Pengembara disaran tidak menyimpan wang tunai dalam bagasi bagi mengurangkan risiko kehilangan atau kecurian. -Gambar hiasan AI

PENGALAMAN kehilangan bagasi ketika melancong pastinya menjadi antara perkara paling mencemaskan, apatah lagi apabila ia berlaku ketika melakukan pengembaraan solo di luar negara.

Situasi itu dilalui seorang wanita yang berkongsi kisah kehilangan bagasinya ketika melancong di Eropah.

Menurut wanita berkenaan, insiden tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Paris, Perancis ke Itali dengan menaiki pesawat tambang murah milik sebuah syarikat penerbangan tempatan.

Bagasinya kemudiannya mengalami kelewatan sebelum pihak syarikat penerbangan memaklumkan bahawa perkara tersebut merupakan sesuatu yang sering berlaku.

"Baggage delay dan kata mereka perkara itu selalu terjadi," ujarnya menerusi perkongsian tersebut.

Namun, apa yang paling dikesalkan wanita itu ialah dia turut menyimpan wang tunai kira-kira 400 EUR (RM2,000) di dalam bagasi berkenaan.

Kehilangan tersebut hanya disedarinya selepas tiba di lapangan terbang di Itali.

Bagaimanapun, insiden berkenaan sedikit sebanyak dapat diringankan apabila wanita itu mempunyai perlindungan insurans perjalanan.

"Pihak insurans terus respon dalam tempoh lima minit, beritahu permohonan saya diluluskan. Saya dapat RM800. Ya Allah, inilah sebabnya anda perlu ambil insurans perjalanan guys," tulisnya lagi.

Perkongsian tersebut bukan sahaja mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan mendapatkan insurans perjalanan, malah turut memberi pengajaran supaya tidak menyimpan barangan penting dan bernilai di dalam bagasi daftar masuk.

Selain wang tunai, beberapa barangan lain juga wajar dielakkan daripada disimpan di dalam bagasi daftar masuk.

1. Dokumen penting

Pastikan dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan, kad kredit, surat-menyurat yang mempunyai alamat dan nombor telefon serta dokumen peribadi lain tidak dimasukkan ke dalam bagasi daftar masuk.

Dokumen berkenaan bukan sahaja sukar diganti ketika berada di luar negara, malah boleh mengundang risiko penyalahgunaan sekiranya bagasi hilang dan jatuh ke tangan individu yang tidak bertanggungjawab. Pasport perlu sentiasa berada bersama diri sepanjang perjalanan.

2. Barang kemas atau barangan mewah

Barangan bernilai tinggi contohnya barang kemas atau jam tangan mewah mempunyai risiko kerugian yang besar sekiranya bagasi hilang atau dicuri.

Jadi, sebelum memasukkan barang berharga ke dalam bagasi, fikirkan terlebih dahulu jumlah kerugian yang mungkin ditanggung sekiranya bagasi tersebut tidak sampai ke destinasi.

Pastikan setiap barangan dengan teliti sebelum mengemas bagasi agar perjalanan lebih selamat serta dapat melancong dengan tenang. -Gambar hiasan AI

3. Laptop atau barangan elektronik berharga

Laptop, telefon bimbit serta peranti elektronik bernilai tinggi juga sebaiknya dibawa bersama ke dalam kabin.

Selain risiko kehilangan atau kerosakan, peranti berkenaan mungkin mengandungi pelbagai maklumat peribadi seperti gambar, dokumen, akaun dan data pekerjaan.

4. Ubat-ubatan

Ubat-ubatan yang diperlukan sepanjang perjalanan juga tidak wajar ditinggalkan di dalam bagasi daftar masuk.

Bagi ubat tertentu, penumpang perlu mengetahui syarat dan peraturan negara yang dikunjungi kerana sesetengah negara mempunyai undang-undang berkaitan kemasukan ubat yang lebih ketat.

Jika membawa ubat yang memerlukan pengisytiharan atau dokumen sokongan, pastikan segala keperluan dipenuhi sebelum melakukan perjalanan.

5. Kunci dan kad akses

Walaupun penumpang perlu mengeluarkan barangan tertentu ketika melalui pemeriksaan keselamatan, kunci rumah, kunci kenderaan dan kad akses juga lebih baik dibawa bersama di dalam beg kabin.

Sekiranya bagasi hilang, kehilangan kunci dan kad akses hanya akan menambah masalah dalam kepala sekali gus menjejaskan mood untuk bercuti.

6. Jangan kongsi bagasi

Elakkan berkongsi ruang bagasi dengan orang lain, khususnya individu yang bukan ahli keluarga atau kenalan rapat. Tindakan membawa barang milik orang lain tanpa mengetahui kandungan sebenar di dalamnya adalah terlalu berisiko.

Lapangan terbang mempunyai prosedur keselamatan dan pemeriksaan yang ketat. Sekiranya terdapat barangan terlarang atau berbahaya di dalam bagasi, pemilik bagasi berkenaan berpotensi berdepan masalah untuk menjelaskan keadaan tersebut.

Justeru, pastikan bagasi yang didaftarkan hanya mengandungi barangan milik sendiri.

Insurans perjalanan

Kisah wanita berkenaan menunjukkan bahawa insurans perjalanan boleh menjadi satu bentuk perlindungan apabila berdepan perkara tidak dijangka seperti kehilangan atau kelewatan bagasi, tertakluk kepada terma dan perlindungan polisi yang diambil.

Namun, perlindungan insurans tidak bermakna penumpang boleh mengambil mudah soal keselamatan barangan.

Sebelum melancong, asingkan barangan penting untuk dibawa ke dalam kabin dan pastikan hanya barangan yang sesuai dimasukkan ke dalam bagasi daftar masuk.

Berhati-hati ketika melancong bukan bermaksud terlalu paranoid, sebaliknya langkah kecil seperti ini boleh membantu mengelakkan masalah yang lebih besar sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan.

Artikel Lain