suria

Anak Sakit, Black Hanafiah Sembunyikan Emosi

Black Hanfiah akui gelagatnya di Mentor Milenia sudah dirancang produksi.
PETALING JAYA: Penyanyi Black Hanifah terpaksa menyembunyikan keadaan emosi yang terganggu akibat kesihatan anaknya Khaleef Dayyan yang berusia setahun ketika menjayakan rancangan realiti Mentor Milenia, malam Ahad lalu.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, 29, berkata, kesihatan anak sulungnya itu terjejas apabila mengalami muntah-muntah dan terpaksa dibawa ke klinik.

"Pada pagi Ahad itu anak saya tidak sihat, muntah-muntah dan badannya lembik sehingga saya menangis kerana tidak sanggup melihat keadaan dia.

"Saya sudah bawa ke klinik dan doktor kata demam biasa tetapi ini kali pertama dia seperti itu. Saya risau hingga pada awalnya tidak mahu hadir minggu kedua program tersebut," ujarnya kepada mStar Online pada Isnin.

Bagaimanapun Black berkata, keadaan anaknya semakin pulih dan sudah kembali aktif pada Isnin.


Black akui bersedih dan bimbang keadaan kesihatan anaknya ketika menjayakan program Mentor Milenia.

Black berkata, ia merupakan kali kedua selepas minggu pertama program tersebut dia diuji apabila isterinya Naquia Yasirah keguguran anak kedua mereka pada 15 Januari lalu.

Katanya, disebabkan tanggungjawab terhadap kerjaya, dia terpaksa mengenepikan segala perasaan sedih tersebut untuk menghiburkan penonton.

"Orang ramai tidak tahu dan hanya pandai menghentam saya sahaja, ramai yang anggap saya terlalu over dan tidak bersedih dengan kejadian itu.

"Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan meninggalkan keluarga dan berpura-pura ceria dikhalayak demi keluarga, tapi saya lakukan demi komitmen dan kerjaya saya dalam industri. Ini sumber pendapatan saya," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kritikan orang ramai terhadap aksinya di program tersebut yang dianggap tidak menghormati mentor lain, Black berkata, ia adalah rancangan pihak produksi.

Dia diminta untuk mencelah dan memeriahkan keadaan agar bersesuaian dengan konsep Mentor Milenia.

"Ini bukan Mentor Legend, program ini untuk remaja dan tugas saya untuk jadi seorang yang mempunyai karakter menjengkelkan.

"Apa yang mereka lihat itu sudah kami rancang terlebih dahulu. Saya tidak kisahlah orang nak benci atau tidak, yang penting program tersebut dapat menarik penonton," ujarnya.

Mentor Milenia bersiaran setiap Ahad pukul 9 malam di TV3.

Black Hanfiah, Mentor Milenia, TV3

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain