suria

Ayda Jebat Cari Peluang Balas Jasa Peminat

Ayda Jebat mengakui banyak berjasa dengan para peminatnya sehingga meletakkan dirinya di tahap sekarang. Foto Ihsan Instagram @Aydajebat
PETALING JAYA: Pelakon Ayda Jebat sentiasa mencari peluang untuk membalas jasa para peminat yang tidak henti-henti menyokong karier seninya sehingga dia berada pada tahap sekarang.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 23, berkata, biarpun tidak dapat membalas dengan wang ringgit namun dia akan memastikan dapat meluangkan masa bersama mereka sekiranya berpeluang berbuat demikian.

"Tidak kira majlis apa saya hadiri peminat sentiasa muncul untuk bertemu dengan saya malah ada yang datang dari jauh demi memberi sokongan kepada saya.

Peluang ini selalunya saya gunakan untuk menyapa, bertanya khabar dan mengambil gambar dengan mereka kerana itu adalah antara cara saya membalas jasa mereka.

"Biarpun tidak seberapa tetapi ia mempunyai erti besar kepada mereka dan juga saya sendiri yang tidak akan berada di sini tanpa sokongan daripada mereka," katanya kepada mStar Online.

Ayda tidak pernah melepaskan peluang untuk bersama peminat sekiranya berpeluang berbuat demikian.

Dalam pada itu, Ayda berkata, atas dasar itu juga dia sentiasa mencari ruang untuk mengekalkan momentum sebagai artis kerana tidak mahu mengecewakan peminatnya.

Malah dia terbuka dengan komen dan kritikan membina diberikan peminat menerusi laman sosial dalam memperbaiki mutu lakonan mahupun nyanyian.

"Pada tahap ini saya tidak boleh kecewakan mereka dan perlu berusaha mengekalkan momentum sedia ada kerana kepercayaan peminat dan harapan mereka sangat tinggi.

"Apa juga pandangan dan kritikan membina saya ambil untuk memperbaiki diri dan Alhamdulillah setakat ini sokongan mereka tidak berbelah bagi," ujarnya.

Ayda tampil dengan single kedua berjudul Pencuri Hati.

Mengulas tiga pencalonan diterima pada Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME 2016), Ayda berkata, dia tidak terlalu berharap kepada kemenangan kerana tersenarai sebagai lima terbaik adalah satu kejayaan kepadanya.

Ayda tercalon dalam kategori Pelakon MeleTOP, Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP (Siapa Diriku) manakala drama lakonan Ayda bersama aktor Zul Ariffin, M.A.I.D turut tercalon menerusi kategori Drama MeleTOP.

Dalam perkembangan lain, Ayda memberitahu dia baharu sahaja melancarkan single keduanya berjudul Pencuri Hati dan kini sedang sibuk dengan aktiviti promosi lagu berkenaan.

Ayda Jebat, AME 2016, Pencuri Hati

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain