suria

Penerbit Drama Kongsi Kesukaran 'Shooting' Drama Di Amsterdam

Datuk Rafiena Ezanee
KUALA LUMPUR: Penerbit drama iaitu Datuk Rafiena Ezanee Ramli memberitahu kru produksinya terpaksa berpindah hotel sehingga enam kali ketika menjalani penggambaran di Amsterdam, Belanda November lalu.

Rafiena, 32, berkata, perkara tersebut disebabkan mereka ditipu agensi yang menguruskan penginapan mereka selama dua minggu di negara itu.

"Selama 10 hari berada di sana kami menghadapi pelbagai cabaran termasuk ditipu oleh agensi yang menguruskan penginapan kami di sana.

"Dalam tempoh hampir dua minggu kami terpaksa berpindah-randah sebanyak enam hotel di sekitar bandar tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Rafiena ditemui pada pelancaran drama terbaharu terbitan syarikatnya iaitu Darkwave Pictures, Sesal Separuh Nyawa yang diadakan di Zebra Square, di sini, baru-baru ini.

Drama tersebut turut dibintangi oleh Aiman Hakim Ridza, Ayda Jebat, Nina Nadhira dan Datuk Tarmimi Saregar. 

Para pelakon dan mereka yang terlibat dalam Sesal Separuh Nyawa.

Dalam pada itu, katanya, cabaran lain apabila mereka terpaksa berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu dan terlalu sejuk sehingga perlu menghentikan penggambaran.

"Kami juga berhadapan dengan masalah cuaca yang terlalu sejuk. Ada juga hari yang hujan sehingga kami terpaksa berteduh selama beberapa jam untuk menunggu hujan berhenti," katanya sambil memberitahu penggambaran drama berkenaan masih lagi dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Melaka.

Dalam pada itu, katanya, biarpun berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk nilai mata wang negara itu yang agak tinggi, dia berpuas hati dengan hasil akhir drama arahan Micheal Ang itu.

Katanya, apa yang cuba ditonjolkan dalam drama tersebut adalah aktiviti harian penduduk di tempat tersebut.

"Kita mahukan kelainan dan saya suka pemandangan di luar negara kerana pencahayaannya nampak lain dan cantik berbeza dengan penggambaran di Malaysia," ujarnya.

Dalam pada itu, Refiena berkata, drama tersebut merupakan idea asalnya yang digarap semula oleh Micheal Ang.

Dia juga mendapat kerjasama daripada syarikat penerbitan Karya Seni Sdn Bhd untuk menerbitkan novel drama itu.

"Kalau kebanyakkannya penerbit mengambil naskhah novel untuk diadaptasi menjadi sebuah drama, namun saya terbalik. Saya jadikan drama saya kepada sebuah novel yang diterbitkan oleh Karya Seni, ia sudah boleh didapati di pasaran," ujarnya.

Drama tersebut mengisahkan tentang dua sahabat baik iaitu Fara (Ayda Jebat), dan Razlan (Aiman Hakim Ridza) mempunyai hubungan istimewa, konflik berlaku apabila Dara mengesyaki kakak tiri Melissa (Nina Nadira) cuba menggodanya.

Akibat lamaran cintanya ditolak oleh Fara, Fendi (Aidit Noh) telah menyerang Melissa sebagai tindakan untuk membalas dendam.

Sesal Separuh Nyawa
terbitan Darkwave Picture Sdn Bhd ini bakal ditayangkan pada setiap Isnin dan Selasa bermula 18 Januari ini di HyppSensasi (HyppTV Saluran 116).
Datuk Rafiena Ezanee

Artikel Lain