suria

Penyanyi Bollywood, Sonu Nigam & Atif Aslam Beraksi Di Malaysia

Sonu Nigam & Atif Aslam buat persembahan di Malaysia.
PETALING JAYA: Penyanyi Bollywood terkenal iaitu Sonu Nigam dan Atif Aslam bakal membuat persembahan eksklusif Shaam-e-Dostana yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 22 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Hitman Solutions iaitu Rohit Rampal berkata, kedua-dua bintang itu akan mendendangkan lagu pupular seperti Suraj Hua Madam, Kal Ho Na Ho (Kabhi Kushi Kabhi Gham), Pehli Nazar Mein (Race) dan Bakhuda Tum Hi Ho (Kismet Konnection).

"Kami amat gembira kerana dapat membawakan kepada para peminat dua nama besar bintang Bollywood untuk berkongsi pentas di Kuala Lumpur.

"Sonu Nigam dan Atif Aslam bukan sahaja mendapat tempat di India, malah berjaya mencipta nama di dunia muzik Barat. Kami telah bekerja keras untuk menjayakan persembahan ini khusus untuk para peminat di Malaysia dan Asia dan berharap semoga anda akan teruja menyaksikan kolaborasi  hebat ini,” ujarnya kepada mStar Online.

Tambahnya, persembahan tersebut pasti akan menghiburkan para peminat mereka yang bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh rantau ini.

Sonu Nigam merupakan salah seorang penyanyi latar terhebat dan paling berjaya dalam industri filem Hindustan, diikuti dengan kualiti dan suaranya yang mantap, setanding dengan suara penyanyi legenda, Mohammad Rafi.

Sonu yang mewarisi bakat bapanya, penyanyi legenda, Agam Kumar Nigam, sebelum ini pernah menyanyi untuk nama-nama bintang terkenal seperti Datuk Shah Rukh Khan, Salman Khan dan Hrithik Roshan.

Sementara itu, Atif Aslam pula terkenal dengan teknik lenggok vokalnya yang mantap dan mempunyai personaliti yang mesra.

Sementara itu, bagi meraikan persembahan sulung mereka di Asia, kedua-dua bintang ini menggubah sebuah lagu istimewa berjudul Jugalbandhi.

Lagu tersebut akan dipersembahkan buat pertama kali khusus untuk peminat Bollywood di Malaysia.

Konsert Shaam-e-Dostana akan bermula pada pukul 7 malam dan tiket menontonnya dijual pada harga dari RM80 yang boleh didapati menerusi http://www.carnivalentertainment.info

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini, pembaca boleh layari http://www.carnivalentertainment.info atau https://www.facebook.com/hitmansolutionsasia.
Bollywood, Sonu Nigam, Atif Aslam

Artikel Berikut

Artikel Lain