suria

Hafiz Suip Masih Hadiri Kelas Vokal

Hafiz bakal terlibat dalam konsert 5 Divo yang bakal diadakan pada 16 Febuari depan. Foto IBRAHIM MOKHTAR
KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip masih menghadiri kelas vokal untuk memperbaiki mutu nyanyian walaupun ada pihak berpendapat dia tidak perlu berbuat demikian.

Hafiz, 25, berkata, tujuannya itu bukan sahaja untuk memperbaiki mutu vokalnya tetapi juga mempelajari teknik nyanyian dengan betul terutamanya pada persembahan secara langsung.

"Ramai menganggap kelas vokal ini adalah untuk orang yang tidak tahu menyanyi tetapi sebenarnya lebih daripada itu malah ia bukan sesuatu yang pelik bagi penyanyi terkenal di luar negara.

"Seperti saya sendiri, biarpun ada pengalaman menyanyi tetapi saya masuk kelas vokal untuk mempelajari teknik kerana ia sangat penting buat seorang penyanyi.

"Suara adalah seperti pisau jika tidak diasah ia akan tumpul pada akhirnya," kata Hafiz kepada mStar Online.

Hafiz ditemui pada sidang media konsert 5 Divo di Bukit Damansara di sini, Selasa lalu.

Konsert berkenaan yang bakal berlangsung pada 16 Feburari depan di Stadium Malawati Shah Alam itu turut menampilkan artis dari Indonesia dan Singapura iaitu Afgan, Judika, Taufik Batisah dan Hazama.

Hafiz masih menghadiri kelas vokal.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia menggunakan khidmat Cikgu Shafi sebagai guru vokal kerana wanita berkenaan memahami kelemahan vokalnya.

Jelas Hafiz, kebiasaannya dia akan menghadiri kelas tersebut dua kali dalam seminggu namun ia turut bergantung kepada jadual mereka berdua.

"Jika ada pertandingan besar atau konsert seperti 5 Divo saya akan lebih kerap menghadiri kelas dan ia banyak membantu terutamanya dari segi teknik ketika menyanyikan sesebuah lagu," ujarnya.

Sementara itu, Hafiz berkata, dia teruja terpilih sebagai salah seorang daripada lima penyanyi lelaki bagi menjayakan konsert berkenaan.

Kata Hafiz, dia bangga dapat menjayakan konsert itu nanti kerana peluang berkenaan adalah satu pengalaman baharu untuknya.

"Alhamdulillah saya mendapat tawaran tersebut sebelum saya berangkat ke Mekah untuk mengerjakan Umrah pada 3 Disember lalu dan saya terus bersetuju kerana ia adalah satu peluang besar untuk saya.

"Idea menggabungkan lima penyanyi lelaki sangat menarik kerana semua nama terlibat adalah antara terhebat di rantau ini," katanya.

Hafiz Suip

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain