suria

Tayangan Awal Pagi 'Star Wars: The Force Awakens' Dapat Sambutan

Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang malam Khamis sempena tayangan Star Wars: The Force Awakens.
PETALING JAYA: Tayangan sepanjang malam filem Star Wars: The Force Awakens secara eksklusif mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat fanatik filem bersiri tersebut yang ditayangkan di TGV Cinemas, Sunway Pyramid dekat sini.

Pengurus Pemasaran Kanan TGV Cinemas, Celeste Koay berkata, sempena tayangan filem yang bermula pada Khamis sebanyak 18 tayangan dibuka dari pukul 12.15 pagi sehingga 6.15 pagi Khamis.

Peminat fanatik Star Wars hadir ke tayangan eksklusif Star Wars: The Force Awakens. FOTO TGV.

"Star Wars: The Force Awakens merupakan sebuah filem yang ditunggu-tunggu dan mempunyai peminat tersendiri, kami membuat tayangan sepanjang malam bagi memberi peluang kepada peminat-peminat fanatik untuk menyaksikan filem ini terlebih dahulu sebelum ia ditayangkan serentak di seluruh dunia.

"Selain itu, kami juga telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik di luar pawagam bagi merancakkan lagi malam tayangan istimewa itu," ujarnya.

Dalam pada itu, peminat bertuah yang menggayakan kostum Star Wars juga dapat memenangi hadiah dan cederahati daripada TGV Cinemas.

Buddiey (kanan) bersama pembaca bertuah menyaksikan tayangan sepanjang malam Star Wars: The Force Awakens - Foto Buddiey

Sementara itu, penulis blog Sensasi Selebriti, Buddiey Isma memberitahu, seramai 250 orang pembaca bertuah termasuk selebriti tempatan hadir pada tayangan malam tersebut.

Katanya, kesemua pembaca yang mendapatkan tiket tersebut merupakan peminat-peminat tegar siri filem itu.

"Walaupun tayangan tersebut pukul 3 pagi, namun mereka sanggup datang lebih awal kerana teruja untuk menyaksikan filem ini.

"Bagi saya ia adalah satu malam yang bersejarah dan berbeza dengan filem-filem lain terutamanya daripada segi promosi," ujarnya.

Penonton hadir dengan kostum Star Wars menerima hadiah daripada TGV Cinemas.

Ini adalah filem pertama Star Wars selepas Disney mengambil alih kesemua kepentingan francais daripada George Lucas dan berjanji akan menerbitkan episod baru setiap dua tahun mulai 2015.

Ketika filem pertama Star Wars muncul di pawagam pada 1977, hampir kesemua pelakon utamanya berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an tetapi kini Harrison Ford sudah pun berusia 71 tahun, Mark Hamill, 62, dan Carrie Fisher, 57 dan Peter Mayhew, 69.

Pengambaran bermula Mei lalu dengan plot cerita bermula 30 tahun selepas Return of the Jedi yang diterbitkan pada 1983. Ia adalah filem terakhir Star Wars (iaitu episod VI) sebelum kisah ini kembali ke belakang dalam bentuk prekuel dengan Episod I, II dan III.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain