suria

Fizo Omar Kongsi Kisah Hidup Menerusi Buku

Buku pertama milik Fizo Omar telah pun terjual sebanyak 1,000 naskah hanya dalam masa dua hari.

PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar berkongsi pengalaman dalam mengharungi kehidupan sebelum bergelar usahawan berjaya menerusi sebuah buku yang menggunakan namanya sendiri sebagai judul.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 30, berkata, buku berkenaan adalah terlalu peribadi buatnya kerana ia menghimpunkan segala pahit maung dalam mencari sebuah pengertian kehidupan sebenar.

"Saya pernah hampir tewas dengan dugaan hidup termasuk kes penipuan RM8 juta, sehingga saya tertanya pada diri sendiri kenapa semua ini terjadi dan mengapa saya yang kena.

"Bagaimanapun apabila saya belajar tentang sebab-sebab kenapa saya dipilih oleh Allah untuk berdepan dengan semua dugaan demi dugaan, lantas saya sebaliknya bersyukur dengan ujian itu," katanya.

Buku setebal 272 muka surat itu mendapat sentuhan penulis Abie Abdullah dilancarkan sendiri oleh mentornya, Dr Azizan Osman bersempena program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) yang diadakan di Shah Alam, Jumaat lalu.

Buku yang diterbitkan sepenuhnya oleh Azizan Osman Publications Sdn Bhd (AOP) ini menceritakan permulaan hidup anak jati kelahiran Kelantan ini dalam mengharungi kehidupan sebelum bergelar sebagai usahawan berjaya hari ini.

Dalam pada itu, Fizo berkata, dia bersyukur buku tersebut telah pun terjual sebanyak 1,000 naskah dalam masa dua hari di IMKK dan berharap ia dapat memberi lebih inspirasi kepada golongan belia.

Buat permulaan kata Fizo, buku berkenaan hanya dijual di program-program anjuran Richworks International Sdn Bhd, iaitu salah satu daripada 27 Syarikat Kumpulan Rickworks pada harga RM33 senaskhah.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada mentor saya, Dr Azizan Osman yang mengembalikan warna di dalam kehidupan saya. Alhamdulillah, Tuhan mengurniakan hikmah yang tersembunyi sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu, Dr Azizan Osman, buku Fizo Omar ini menyaksikan perubahan hidup selebriti itu secara dramatik.

"Fizo Omar sangat berbeza daripada kelompok artis yang pernah saya lihat dan baca. Bukan kerana dia telah menghadiri seminar-seminar saya hingga menjadi antara pelajar contoh saya tetapi kerana dia berani dan pantas untuk bertindak.”

"Tindakan yang saya maksudkan di sini adalah keluar daripada zon selesa. Fizo walaupun namanya sudah memuncak di dalam industri hiburan tetapi masih mencari ruang yang dikatakan benar-benar 'selesa' untuk dirinya," ujarnya.

Fizo Omar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain