suria

Shaheizy Sam Dianggap Tidak Hormat Majlis Pakai Baju T 'Polis Evo'

Shaheizy Sam. Foto: SHAARI CHEMAT
PETALING JAYA: Pelakon Shaheizy Sam menganggap langkahnya hadir pada majlis-majlis hiburan dengan hanya memakai baju T untuk mempromosi filem Polis Evo berbaloi apabila karya tersebut berjaya mengutip RM8 juta dalam tempoh 11 hari tayangannya.

Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 33, berkata, biarpun dia pernah dianggap tidak menghormati majlis, namun dia sedar apa yang dilakukannya itu sedikit sebanyak membantu memperkenalkan filem tersebut.

"Ada orang cakap saya tidak hormat majlis kerana pakai baju T murah di majlis-majlis hiburan antaranya ketika menghadiri majlis anugerah Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) baru-baru ini.

"Orang ramai cuma nampak pengorbanan saya kuruskan badan sahaja, tapi mereka tidak tahu itulah sebenarnya (berbaju T) pengorbanan saya yang orang tidak nampak, biarlah orang cakap saya malukan diri sendiri di majlis-majlis hiburan," ujarnya kepada mStar Online pada sidang media filem Rembat, di Cineleisure, di sini, pada Selasa.

Sam diminta mengulas mengenai pencapaian filem Polis Evo yang berjaya meraih RM8 juta dalam tempoh 11 hari ketika dunia perfileman tempatan menunjukkan kesuraman.

Barisan pelakon dan mereka yang terlibat dalam filem Rembat.

Dalam pada itu, Sam berkata dia juga tidak mahu orang ramai meletakkan kejayaan tersebut hanya tertumpu kepada penampilannya semata-mata.

Jelasnya, kejayaan filem tersebut adalah disebabkan jalan cerita dan pengarahnya iaitu Ghaz Abu Bakar yang bijak membuat percaturan.

"Jangan letakkan saya seorang sahaja punca kejayaan filem ini, ia adalah kerja produksi terutama pengarah yang berjaya mencari sesuatu yang terbaik untuk kejayaan filem ini.

"Selain itu, apa yang saya belajar sesuatu filem yang berjaya itu tidak boleh dihasilkan dengan bajet rendah kerana kena keluar bajet tinggi untuk cari pengarah, pelakon dan promosi yang bagus," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang filem Rembat pula Sam berharap populariti filem Polis Evo mampu memberi tempias terhadap filem baharu lakonannya itu.

"Filem Rembat mempunyai genre berbeza daripada Polis Evo, saya harap peminat dapat memberi sokongan terhadap filem ini juga.

"Saya harap juga sedikit sebanyak populariti Polis Evo juga memberi tempias kepada filem ini," katanya.

Filem Rembat arahan Shamyl Othman bakal ditayangkan pada 8 Oktober depan di seluruh pawagam tanah air.

Filem terbitan Red Films, Grand Brilliance dan Marna Films ini turut dibintangi oleh Aniu, Zara Zya, Zizan Razak, Arja Lee dan Sherry Alhadad.
Shaheizy Sam, Polis Evo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain