suria

'Polis Evo' Kutip RM8 Juta Selepas 11 Hari Ditayangkan

Zizan Razak (kanan) dalam 'Polis Evo'.
PETALING JAYA: Filem aksi, Polis Evo berjaya mengutip RM8 juta selepas 11 hari penayangannya sekali gus membuktikan industri perfileman tempatan masih mempunyai pengaruh.

Kutipan itu melibatkan 101 buah pawagam seluruh negara termasuk Brunei selepas ditayangkan pada 17 September lalu.

Ia menjadikan jumlah kutipan tertinggi pada tahun ini berbanding filem Villa Nabila dan Suamiku Encik Perfect 10 yang masing-masing mendapat kutipan RM2.8 juta dan RM2.9 juta semasa ditayangkan pada Januari lalu.

Mengikut rekod Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kali terakhir filem Melayu mendapat kutipan luar biasa ialah pada tahun 2011 menerusi filem Ombak Rindu (RM10.90 juta) dan KL Gangster (RM11.74 juta).

Pada 2012, kutipan tertinggi hanya dikutip pada filem Adnan Sempit iaitu RM6.82 juta sementara pada 2013 menerusi filem KL Gengster 2 dengan kutipan RM4.96 juta.

Pada 2014 kutipan filem Melayu mula menunjukkan kesuraman apabila filem Abang Long Fadil mendapat kutipan RM4.6 juta berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, berkata,  kutipan memberangsangkan pada filem Polis Evo itu turut didorong reaksi positif peminat selain langkah promosi yang giat dijalankan terhadap karya itu.

“Kami tidak  menyangka dalam kesuraman industri perfileman tempatan ketika ini, peminat masih memberi  kepercayaan kepada Polis Evo untuk menduduki tempat teratas dalam carta filem Melayu terlaris untuk tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada mStar Online di sini pada Isnin.


Zizan Razak (kanan) dan Shaheizy Sam pelakon utama 'Polis Evo'.

Terdahulu Polis Evo lakonan Shaheizy Sam dan Zizan Razak berjaya mencatat kutipan memberangsangkan dengan jumlah RM2.5 juta selepas empat hari ditayangkan.

Filem tersebut adalah arahan Ghaz Abu Bakar merupakan gabungan karya Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf.

Najwa berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya meramal kehendak penonton walaupun kutipan filem tersebut mencecah angka luar biasa ketika dunia perfileman menunjukkan kesuraman.

“Jika dilihat reaksi positif peminat terhadap Polis Evo, diharap ia dapat menyuntik semangat baru dalam dunia filem Malaysia,” katanya.

Polis Evo merupakan filem yang memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak).

Kedua-dua pemuda itu mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah. 
Polis Evo

Artikel Sebelum

Artikel Lain