suria

FFM 27: 'Terbaik Dari Langit' Pengubat Luka - Bront Palarae

Bront Palarae

PETALING JAYA: Pelakon Bront Palarae menganggap 12 pencalonan yang diterima filemTerbaik Dari Langit  di Festival Filem Malaysia 27 (FFM 27) adalah pengubat luka berikutan filem tersebut gagal mencapai kutipan yang diharapkan ketika tayangannya pada Disember lalu.

Bront, 37, berkata, ia merupakan penghargaan dan saguhati kepada pelakon, pengarah serta kru produksi yang telah berusaha keras untuk menghasilkan filem tersebut.

"Pencalonan ini adalah pengubat luka kepada kami setelah kecewa dengan kutipan di pawagam. Kutipan yang diperolehi hanya RM500,000 sahaja.

"Ketika tayangan pada Disember tahun lalu, negara mengalami tragedi banjir besar di Kelantan dan kapal terbang AirAsia Indonesia terhempas membuatkan promosi agak terjejas," ujarnya kepada mStar Online.

Bront dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik bersaing dengan beberapa pelakon seperti Lee Sai Peng (The Journey), Wan Hanafi Su (Lelaki Harapan Dunia), Awie (Dollah Superstar) dan Que Haidar (Ophilia).

Dalam pada itu, Bront berkata, perkembangan positif dalam industri filem tanah air dapat dilihat menerusi pencalonan FFM 27 lebih bernafas baharu.

Tambahnya, lebih ramai pengiat filem daripada kalangan muka baharu yang cuba memberi saingan dan menghasilkan filem dengan genre yang lebih pelbagai.

"Saya gembira dan melihat gerakan filem bernafas baru menerusi pencalonan kali ini. Saya tidak rasa persaingan itu wujud dalam FFM 27, sebaliknya ia adalah penghargaan kepada kami pengiat filem.

"Apa yang saya rasa ialah FFM sebagai sambutan dan meraikan karya-karya tempatan," katanya.



Sementara itu, bercerita tentang kekuatan filem Terbaik Dari Langit, Bront berkata, filem tersebut merupakan sebuah karya ringan yang dihasilkan dengan ramuan yang berkualiti.

"Filem ringan tidak semestinya tidak bagus, Terbaik Dari Langit merupakan contoh filem yang dihasilkan dengan garapan dan intipati berkualiti.

"Ia ringan tapi memenuhi makanan jiwa dan minda serta mengupas beberapa topik mengikut pandangan generasi baharu," katanya.

Filem Terbaik Dari Langit  tersenarai dalam 12 kategori termasuk kategori utama iaitu Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

FFM 27 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 5 September depan dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria pulul 8.30 malam.

Artikel Lain