suria

Jep (Sepahtu) Tolak Tawaran Bukan Kerana 'Demand'

Jep menjelaskan tindakannya menolak tawaran berlakon yang diberikan kepadanya bukan disebabkan dia mula bersikap 'demand'.

PETALING JAYA: Anggota kumpulan Sepahtu Jep menjelaskan tindakannya menolak tawaran berlakon yang diberikan kepadanya bukan disebabkan dia mula bersikap 'demand'.

Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, 30, sebaliknya berkata, dia tidak selesa berlakon dalam drama atau pun filem kerana ia bukan minat utamanya.

"Sejujurnya memang banyak tawaran berlakon yang saya tolak tetapi bukan kerana 'demand' sebaliknya merasakan saya tiada bakat berlakon.

"Sebaliknya saya lebih selesa membuat persembahan lawak di pentas kerana ia tidak terikat dengan skrip dan itu adalah sebenarnya minat saya," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu, Jep diumumkan sebagai pemenang trofi Artis Lawak Lelaki Paling Popular pada Anugerah Lawak Warna 2015 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, Jumaat lalu.

Ia adalah kemenangan kali ketiga berturut-turut buat Jep menerusi kategori berkenaan.

Sepahtu turut menerima trofi Artis Lawak Duo/Berkumpulan Paling Popular.

Jep bersama Sepahtu turut membawa pulang trofi Artis Lawak Duo/Berkumpulan Paling Popular pada malam tersebut.

Bagaimanapun kata Jep, bukan semua tawaran berlakon ditolak bulat-bulat olehnya kerana dia akan memilih mengikut kesesuaian dan skrip sesebuah karya tersebut.

"Saya tidak 'demand' tetapi begitu selektif dalam apa juga projek ditawarkan kepada saya termasuklah lakonan. Ini kerana saya berada dalam bidang seni bukan secara suka-suka, jadi saya perlu pilih tawaran mengikut minat saya," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan berturut-turut menerusi kategori Artis Lawak Lelaki Paling Popular, Jep berkata, dia terharu dengan sokongan tidak putus-putus peminatnya.

"Syukur kepada Allah dengan rezeki ini dan saya sangat merendah diri apabila diberi penghargaan seperti ini apatah lagi ia daripada undian peminat," ujarnya.

Pada acara sama, filem Gila Baby arahan Khabir Bhatia mengungguli anugerah berkenaan apabila membawa pulang lima trofi termasuk Filem Lawak Terbaik, Pengarah Lawak Terbaik dan Pelakon Lawak Wanita dan Lelaki Terbaik iaitu Nadiya Nisaa dan Beto Khusyairi.

Jep, Sepahtu.

Artikel Lain