suria

Jenazah Allahyarham Karim Latiff Selamat Dikebumikan

Karim Latiff meninggal dunia pada usia 78 tahun akibat kanser.

KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Karim Latiff selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Batu Muda, Gombak selepas solat Asar pada Selasa.

Karim atau nama sebenarnya Abdul Karim Abdul Latiff, 78, terdahulu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 11.30 pagi akibat kanser paru-paru.

Menantu Allahyarham, Norzawati Zainal, 41, ketika ditemui berkata, bapa mertuanya itu dimasukkan ke HKL pada 8 Ogos lalu selepas keadaan kesihatannya merosot dan mengalami jangkitan pada paru-paru.

"Arwah semakin uzur sejak Aidilfitri lalu selepas mengalami jangkitan pada paru-parunya," katanya.

Berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, Karim meninggalkan isteri, Che Asma Hussain dan lima anak iaitu Izuddin Nizam, Izmir, Nur Iznita, Izhar dan Izralfiddin.

Seangkatan dengan Seniman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Karim pernah popular menerusi filem seperti Ahmad Albab, Anak Bapak, Masam-Masam Manis dan Keluarga 69.

Allahyarham juga pernah bertugas sebagai pengalih suara di RTM sebelum mengambil keputusan berehat selepas mengalami masalah penglihatan sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Norzawati berkata, Allahyarham amaat rapat dengan kesemua 16 cucunya selain sering memberi nasihat agama kepada mereka. 

Katanya lagi, di sebalik ketegasannya, Karim seorang yang begitu menitikberatkan soal hubungan kekeluargaan.

"Allahyarham pasti dirindui cucu-cucunya," katanya.

Isteri Allahyarham, Che Asma Hussain, 71, pula berkata, suaminya meninggal dunia ketika beliau dan anak keempat mereka, Izhar, berada di sisinya.

Katanya, ketiadaan Allahyarham disedari selepas bunyi nafasnya terhenti ketika sedang tidur.

"Nafasnya selalu berbunyi kerana kahak yang terkumpul pada tekak, tetapi ia terhenti secara tiba-tiba membuatkan saya dan anak terkejut namun sebelum itu sempat mengajarnya untuk mengucap dua kalimah syahadah," katanya.

Allahyarham turut menghidap penyakit diabetes sejak 33 tahun lalu.

Karim Latiff.

Artikel Lain