suria

Empat Peserta Tersingkir Dalam AF 2015

Dari kiri: Dalila, Arisa, Wili dan Shahid. Foto ROHAIZAT DARUS
SHAH ALAM:  Seramai empat peserta tersingkir dalam konsert penentuan Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) yang berlangsung di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada malam Ahad.

Peserta tersebut adalah Wili (Suili George, 28, Sabah), Dalila (Nurdalila Mohamed Yusof, 23, Singapura), Syahid (Khairul Mohd Syahid Abu Hassan, 27, Melaka) dan Arisa (Sharmaine Arissa Shahrudin, 21, Selangor).

Penyingkiran tersebut sekali gus memberi peluang kepada 12 peserta lain meneruskan perjuangan mereka di AF 2015.

Peserta- peserta tersebut ialah Sharul (Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, 19, Negeri Sembilan), Iqwan (Muhammad Ikhwan Alif Salim, 20, Perak) dan Syamel (Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 22, Kuala Lumpur).

Turut terpilih Openg (Anthonasius Jadil, 23, Sabah), Faroq (Muhammad Amyroulfarouk Mohd Nor, 23, Melaka), Sufi (Mohammad Sufie Rashid, 24, Singapura), Bila (Nurnajmi Nabila Samsaidi, 19, Kuala Lumpur), Ziqa (Nurhusnina Haziqah Naharuddin, 19, Johor) dan Aziah (Aziah Awang, 21, Sabah).

Pelajar lain ialah Ifa (Sharifah Nabilah Syed Azhar, 21, Kedah), Lisa (Allyssa Joanne Anak Jambi, 22, Sarawak) dan Rachel Ang Hui San (Rachel, 23, Pahang).

Masih mengekalkan format asal, AF 2015 bakal menyaksikan gabungan semula barisan tenaga pengajar sebelum ini iaitu Acis sebagai pengarah muzik konsert, Shahrol (guru vokal), Fatimah Abu Bakar (guru motivasi dan Bahasa Inggeris), Linda Jasmine (guru tarian dan kareografi), Fauziah Nawi (guru seni persembahan) manakala Que Haidar sebagai guru pementasan.

Program pengenalan Tirai AF 2015 akan ke udara selama dua episod bermula 1 hingga 2 Ogos depan pukul 9 malam.

Selain itu, rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi juga dapat ditonton melalui liputan harian Diari AF 2015 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 9 malam bermula 3 Ogos depan.

Manakala konsert mingguan AF 2015 pula akan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam mulai 9 Ogos depan.

AF 2015 juga sekali lagi memberi kepercayaan kepada Zizan Razak dan Faizal Ismail untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara mingguan.

AF 2015 disiarkan secara langsung di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (123).

AF 2015

Artikel Lain