suria

Shukri Yahaya Pesan Tidak Kutuk Kerajaan Di Media Sosial

Shukri Yahaya
PETALING JAYA: Pelakon Shukri Yahaya meminta orang ramai tidak terlalu ghairah meluahkan rasa tidak puas hati termasuk mengutuk kerajaan melalui medium laman sosial.

Shukri, 27, berkata, memandangkan rakyat Malaysia dikenali sebagai negara yang penuh dengan adab sopan serta mengutamakan nilai-nilai murni, tindakan itu membuatkan masyarakat dipandang buruk oleh pihak luar.

"Saya faham perasaan rasa tidak puas hati segelintir pihak. Tetapi janganlah terlalu obses menghentam dan mengkritik.

"Jika tidak suka, tunggu sahaja masa Pilihan Raya Umum (PRU). Sebagai rakyat kita berhak memilih mana yang terbaik. Negara kita dikenali dengan sifat dan adab ketimuran. Jangan burukkan negara dan diri sendiri di laman sosial," katanya kepada mStar Online.

Shukri yang ditemui pada majlis rumah terbuka Media Prima Berhad di Hotel Hilton di sini pada Rabu lalu mengulas mengenai masyarakat negara ini yang suka menggunakan laman sosial mengkritik kerajaan.

Bagaimanapun Shukri berkata, dia faham dengan perasaan golongan yang dikritik memandangkan sebagai selebriti dirinya juga turut dihentam peminat.

"Saya sendiri termasuklah selebriti lain sering dihentam oleh keyboard warrior yang entah datang dari mana. Cuma situasi kami dengan golongan VVIP sedikit berbeza.

"Kadang kala saya tertanya-tanya, mereka tidak kenal atau jumpa saya, jadi apa membuatkan mereka membenci? Bagaimanapun, lama kelamaan saya mengambil pendekatan untuk mengabaikan kritikan tersebut," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang popular dengan drama Dia Isteri Luar Biasa ini akan muncul menerusi telefilem Janji Hati, siaran Astro Ria dan Surah Buat Miasara (slot Akasia, TV3).

Shukri juga akan sibuk dengan kerja-kerja penggambaran sebuah drama bermula minggu depan bawah pengarah popular Azma Aizal Yusoof.
Shukri Yahaya

Artikel Lain