suria

"Jangan Curi-Curi Ambil Gambar Saya" - Amaran Anuar Zain

Anuar Zain bakal terlibat dalam konsert 'Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta' pada 31 Oktober 2015. FOTO: NORAFIFI EHSAN
PETALING JAYA: Penyanyi Anuar Zain meminta peminat atau orang awam tidak mengambil gambarnya secara sembunyi lalu menyebarkan maklumat lokasi dia berada secara terbuka di media sosial.

Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 45, berkata, perkara tersebut dianggap sebagai menceroboh privasinya selain mendedahkan dia kepada bahaya keselamatan diri.

”Tindakan seperti ini boleh dikatakan tidak beradap kerana jika ada orang yang cuba nak buat khianat, mereka dengan mudah tahu lokasi saya berada.

"Kalau nak ambil gambar saya boleh tetapi perlu beritahu dan minta kebenaran. Jangan ambil gambar saya curi-curi dan dedahkan di laman sosial maklumat terperinci seolah-olah anda duduk di sebelah saya.

"Perkara ini selalu terjadi dan saya risau kerana kebiasaan saya makan di sesuatu tempat seorang diri, tanpa kawan," ujarnya kepada mStar Online.

Anuar Zain bimbang terhadap keselamatan diri dengan adanya media sosial ketika ini.

Anuar Zain ditemui pada sidang media konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta di Hotel Royale Chulan, di sini, Khamis.

Tambah Anuar, keterbukaan media sosial juga mengundang rasa bimbang terhadap keselamatannya ketika berada di luar secara bersendirian.

Dalam pada itu, dia mengakui tidak aktif menggunakan laman sosial seperti mana-mana artis lain kerana tidak mahu menjadi mangsa kecaman segelintir pihak yang sering memandang sesuatu perkara daripada sudut negatif.

"Tidak aktif di media sosial tidak bermakna saya tidak mengikuti perkembangan dunia semasa. Bagi saya "up to date" bukan hanya di teknologi terkini tetapi juga daripada sudut pemikiran terhadap isu semasa.

"Biarlah saya tiada laman sosial dan mereka kurang sedikit dosa untuk mengutuk atau bercakap buruk tentang artis," ujarnya.

Kata Anuar, dia juga tidak pernah membaca dan mengambil tahu tentang pandangan buruk segelintir pihak terhadapnya di laman-laman sosial.

Tambahnya, perkara-perkara tersebut hanya mengundang pengaruh negatif yang seterusnya boleh melemahkan moral individu yang membacanya.

"Mereka yang selalu beri kritikan di media sosial ini pengecut. Bagi saya mereka mempunyai masalah dalam diri sendiri dan keluarga mereka.

"Jadi mereka akan cari kesalahan orang lain untuk menutup apa yang berlaku terhadap diri mereka sendiri," ujarnya.

Konsert Ketuhanan Kumpul Dana

Sementara itu, bercerita tentang konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta, Anuar berkata, dia bakal menyanyikan tiga buah lagu termasuk lagu popularnya berjudul Ketulusan Hati.

Katanya, konsert berunsur ketuhanan ini bukan sahaja bertujuan mengutip dana amal, malah ingin menyebarkan nilai kasih sayang sesama manusia yang semakin berkurangan.

Selain Anuar Zain (tiga dari kiri), persembahannya pada Oktober depan akan turut disertai aktres Irma Hasmie dan kumpulan Raihan.

"Orang tidak perasan kebanyakan lagu saya seperti Ketulusan Hati, Teman Terulung dan Ajari Aku banyak ke arah ketuhanan dan saya bersyukur turut terlibat dalam konsert seperti ini,” ujarnya.

Konsert anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Mawlaya Network Sdn Bhd ini bertujuan mengumpul dana bagi tabung kemanusiaan yang akan disalurkan kepada rakyat Palestin, Syria, Bosnia, Bangladesh dan Sri Langka.

Ia bakal dijayakan oleh beberapa artis terkenal seperti Raihan, Akim & The Majistret, Opick, Ebiet G Ade, Zain Bikha dan Humood Al Khudeer.

Konsert ini akan berlangsung pada 31 Oktober depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Tiket berharga RM73 hingga RM383 boleh didapati secara dalam talian di www.ticketpro.com.my 

 

Anuar Zain

Artikel Lain