suria

Johan As'ari Kongsi Pengalaman Beraya Di India

Johan beraya bersama perantau warga Malaysia di India
PETALING JAYA:  Pelakon Johan As'ari memberitahu pengalaman sambutan Hari Raya Aidilfitri di India terlalu berbeza dan tidak semeriah seperti disambut di negara ini.

Johan atau nama sebenarnya, Johan Arrif As'ari, 29, berkata, dia bersama rakan-rakan berpeluang beraya di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India pada hari pertama Syawal bersama perantau yang lain.

"Pengalaman beraya di India sangat berbeza, mujur saya dijemput untuk solat Aidilfitri bersama di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India, dapatlah saya makan ketupat dan beraya bersama-sama warga Malaysia dengan berbaju Melayu.

"Selepas habis beraya bersama mereka kehidupan seperti biasa, di India sambutan tidak semeriah di Malaysia. Keadaan seperti hari-hari biasa sahaja. Rasa rindu pula untuk beraya di negara sendiri," ujarnya kepada mStar Online.

Johan bersama rakan-rakannya di India.


Johan berada di India sejak Jun lalu bagi mendalami ilmu agama selama empat bulan bersama beberapa orang rakan.

Sementara itu, dia juga menganggap Syawal kali ini paling memilukan apabila disambut tanpa insan istimewa iaitu ibunya Allahyarham Firdaus Abdul Kader yang meninggal dunia pada 30 Mei lalu.

Katanya, perkara paling mengudang kesedihan apabila terkenang tugas ibunya yang melakukan persiapan baju raya sebelum mereka sekeluarga pergi menunaikan solat sunat Hari Raya.

"Perasaan susah untuk digambarkan, sudah tentu saya rasa sedih dan rindu terkenangkan ibu, arwah adalah orang yang paling sibuk ketika Hari Raya.

"Sebelum kami ke sembahyang raya, dia akan tengok anak-anak dia punya baju dan persiapan lain agar tiada apa yang kurang," ujarnya.


Gambar kenangan bersama rakyat Malaysia di India.


Tambah Johan, biarpun menyambut lebaran di perantauan, dia tetap menghubungi keluarga bagi memohon keampunan.

Katanya, sejak berada di India, dia sentiasa berhubung dengan ahli keluarga lain bagi bertanya khabar.

"Alhamdulillah, kehidupan saya baik dan saya sentiasa berhubung dengan ahli keluarga walaupun berada jauh di perantauan.

"Perkara terbesar yang saya peroleh di sini ialah berkasih sayang dan mencintai seluruh manusia dan seluruh makhluk di muka bumi ini," ujarnya.
Johan As'ari

Artikel Lain