suria

Drama Adaptasi 'Kutinggalkan Cinta Di Okinawa' Boleh Bersaing

Sharnaaz Ahmad
PETALING JAYA: Pengarah drama Kutinggalkan Cinta Di Okinawa (KCDO), Amor Rizan yakin karya barunya mampu bersaing dengan drama-drama adaptasi novel yang menjadi trend ketika ini.

Amor berkata, walaupun drama adaptasi novel mempunyai pengikut dan penonton yang kuat, dia yakin KCDO mempunyai daya tarikan yang tersendiri lebih-lebih lagi plot ceritanya berbeza.

"Saya tahu, sekarang ini semua orang gilakan drama-drama adaptasi novel dan ia menjadi trend.

"Tetapi saya 'lari' sedikit daripada trend dengan menyelitkan seni mempertahankan diri karate yang berasal dari Okinawa. Sebab itu, saya memilih lokasi di Okinawa, Jepun untuk menghasilkan drama ini.

Sharnaaz (dari kiri), Hanis Zalikha dan Shogun dalam Kutinggalkan Cinta Di Okinawa.

"Bagaimanapun, harus diakui, kisah-kisah klise seperti cinta masih lagi diterapkan. Cuma penyampaiannya membuatkan KTCDO lebih unik," katanya kepada mStar Online.

KCDO merupakan sebuah karya yang mengangkat tema kekeluargaan, persahabatan, percintaan dan elemen seni mempertahankan diri iaitu karate.

Alisa lakonan Hanis Zalikha telah jatuh cinta kepada Shun (Shogen), seorang jurulatih seni bela diri karate. Tanpa Alisa sedari, Rykal (Sharnaaz) juga menaruh minat terhadap Alisa.

Amor Rizan

Sementara itu, Amor berkata, sepanjang menjalani penggambaran di Okinawa pada Disember tahun lalu, komunikasi dengan kru produksi Jepun antara perkara yang mencabar.

"Selama sebulan di Jepun, hanya empat orang dari Malaysia menjadi kru dan selebihnya kami menggunakan perkhidmatan kru dari negara itu. Diakui, agak sukar untuk berkomunikasi dengan mereka walaupun mempunyai penterjemah sebagai pengantara kami.

"Sehinggakan terdapat masalah miss communication dan kami terpaksa menggunakan bahasa tubuh untuk memahami antara satu sama lain. Apa-apapun kami seronok kerana ia memberi pengalaman baru," ujarnya.

Drama terbitan Double Vision itu bakal bersiaran mulai 5 Ogos depan, setiap Rabu, di Astro Bella saluran 133.

Artikel Lain