suria

"Tiada Siapa Campur Tangan Kerja Saya" - Jihan Muse

Jihan Musa
PETALING JAYA: Pelawak Jihan Muse terkejut dengan laporan mengatakan dia kini dikawal seseorang sejak dilimpahi dengan pelbagai tawaran kerja.

Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa 32, berkata, isu seperti itu tidak patut timbul memandangkan tiada siapa yang campur tangan urusan kerjanyanya melainkan pihak pengurusan dan keluarga.

"Pada pendapat saya, isu siapa campur tangan kerja seni saya tidak patut timbul dan tidak perlu diperbesarkan.

"Memandangkan laporan pojok itu tidak menjelaskan siapa individu yang mengawal gerak geri kerja seni saya, maka saya akan menjelaskan perkara ini berdasarkan artikel berkenan ditulis.

"Cuma saya tidak faham, bukankah sesuatu yang normal apabila ada pihak yang menyusun dan mengambil tahu pergerakan saya? Takkan keluarga sendiri tidak boleh campur tangan? Saya tidak faham," katanya kepada mStar Online.

Baru-baru ini, menerusi ruangan pojok di sebuah akhbar, Jihan dilaporkan mula dikawal 'seseorang' yang akan mengambil berat setiap pergerakannya termasuklah daripada segi pemilihan pakaian sejak dia mendapat banyak tawaran kerja kebelakangan ini.

Jihan Musa

Menurut akhbar berkenaan, perkara itu membuatkan Jihan tersepit dan risau sekiranya langkah itu menggores hati mana-mana pihak yang terbabit.

Individu yang dikaitkan dalam artikel itu ialah teman lelaki Jihan iaitu  Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 30.

Sementara itu, Jihan terus berharap agar perkara tersebut tidak dibesar-besarkan dan pada masa yang sama dia tetap bersyukur masih ada pihak yang begitu prihatin terhadap dirinya.

Dalam perkembangan lain, Jihan mengambil keputusan untuk tidak terlibat dengan mana-mana kerja seni sepanjang bulan Ramadan kerana ingin melakukan ibadah puasa bersama-sama keluarga.

"Bulan puasa ini, saya memang nak lebihkan amalan-amalan saya. Hanya satu kerja sahaja yang saya terlibat iaitu latihan teater Maduku Kalut Returns yang akan dipentaskan pada Ogos depan.

"Selebihnya, masa saya banyak dihabiskan bersama keluarga," tuturnya.

Maduku Kalut Returns terbitan Mask Team bakal dipentaskan pada 7, 8 dan 9 Ogos depan.Tiket boleh dibeli secara atas talian menerusi www.airasiaredtix.com dan dijual dengan harga RM35, RM45, RM65, RM85, RM105 dan RM155 (platinum).
Jihan Musa

Artikel Lain