suria

'Suamiku Jatuh Dari Langit' Bukan Lawak Slapstik

Antara babak Suamiku Jatuh Dari Langit yang dilakonkan oleh Qi (kiri) dan Kaza).
PETALING JAYA: Pengarah filem Suamiku Jatuh Dari Langit, Eyra Rahman yakin karyanya itu akan mempunyai skop peminat yang lebih luas memandangkan ia bukanlah sebuah filem lawak slapstik.

Eyra berkata, sebelum menghasilkan filem tersebut, dia telah mengkaji karyanya sebelum ini iaitu Awak Nak Kahwin Dengan Saya (lakonan Erin Malek dan Fezrul Khan) yang dilihat banyak kekurangan terutamanya daripada segi dialog komedi yang disifatkan kurang menjadi.

"Saya seorang yang teliti dan terus memperbaiki kelemahan-kelemahan sebelum ini. Sebelum memulakan penggambaran Suamiku Jatuh Dari Langit, saya kaji semula filem komedi saya terdahulu iaitu Awak Nak Kahwin Dengan Saya.

"Walaupun filem itu mendapat pujian daripada segi visual dan sinematografinya, tetapi saya rasa banyak kekurangan dalam filem itu terutamanya dialog.

"Alhamdulillah, saya rasa, filem Suamiku Jatuh Dari Langit merupakan sebuah filem komedi yang lebih spontan, bukannya karya slapstik yang kerap 'dihidangkan' pada para penonton," katanya kepada mStar Online.



Eyra ditemui pada majlis pra tonton filem Suamiku Jatuh Dari Langit di GSC Sunway Piramid di sini pada Isnin.

Kata Eyra, filem tersebut juga menerapkan konsep kekeluargaan yang mengangkat kasih sayang seorang bapa.

"Ia memaparkan bagaimana seorang ayah mendidik dua anak perempuannya dengan cara yang tegas.

"Kedua-dua anak itu tidak dibenarkan keluar rumah tanpa kebenaran, malah hal jodoh juga si bapak mahu menentukan sendiri kerana risau jika anak-anaknya mendapat suami yang tidak sepatutnya.

"Apa yang saya ingin tunjukkan ialah cabaran seorang bapa tunggal gigih menjaga anak-anak perempuannya." ujarnya.

Suamiku Jatuh Dari Langit mengisahkan seorang gadis kampung bernama Asyikin (Nora Danish), mempunyai bapa, Pak Bidin (Kaza), seorang ketua kampung yang tegas dan menitikberatkan soal agama. Asyikin dididik menjadi seorang wanita yang menutup aurat, lemah lembut dan pandai mengaji.

Che Awang (Syuk SYJ) dan Awie (Qi Razali) pula merupakan pemuda kampung yang nakal dan suka mengganggu gadis-gadis di kampung mereka. Suatu hari, Awie memerlukan wang untuk melangsaikan hutangnya. Awie telah menyelinap masuk ke dalam rumah ketua kampung dengan memanjat dari bumbung untuk mencuri.

Tiba-tiba, Awie tersalah pijak dan terjatuh di hadapan Asyikin yang baru selesai solat. Awie terpegun melihat kecantikan Asyikin, manakala Asyikin terkejut melihat kemunculan Awie.

Filem itu akan ditayangkan pada Hari Raya pertama di seluruh pawagam di Malaysia.
Suamiku Jatuh Dari Langit

Artikel Lain