suria

Caliph Buskers Ambil Masa Lima Hari Rakam Album Raya

Caliph Buskers
KUALA LUMPUR: Kumpulan Caliph Buskers hanya mengambil masa lima hari untuk merakamkan album pertama mereka berjudul Busking Aidilfitri.

Vokalis utamanya, Khairul Azmi Saat atau Azmi, 28, berkata, setiap hari mereka akan merakamkan dua buah lagu dan berada di studio rakaman sepanjang hari.

"Kami masuk studio pada pertengahan April lalu dan Alhamdulillah hanya ambil masa lima hari sahaja untuk selesaikan proses rakaman.

"Album berkenaan memuatkan 10 buah lagu raya dan setiap hari kami akan rakam dua buah lagu tetapi mengambil masa dari pagi hingga ke malam," katanya kepada mStar Online.

Caliph Buskers ditemui pada majlis pelancaran album berkenaan di Central Market di sini, Khamis lalu.

Selain Azmi, kumpulan berkenaan turut dianggotai oleh Nirwan, Zaki, Fendy dan Nadira.

Dalam pada itu, Azmi berkata, pengalaman merakamkan album di studio sangat bermakna buat mereka kerana mendapat tunjuk ajar daripada Edry Abdul Halim sebagai penerbit.

Malah katanya, pengalaman di studio membuatkan mereka lebih berdisiplin selain dapat mempelajari proses rakaman sesebuah lagu.

"Paling saya tidak sangka adalah rupa-rupanya proses memasukkan vokal latar bukan semudah disangka dan ia merupakan pengalaman baharu buat saya.

"Tunjuk ajar daripada Edry menambahkan lagi keyakinan kami dan Alhamdulillah terhasillah album Busking Aidilfitri," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai album berkenaan, Azmi berkata, ia memuatkan 10 buah lagu raya nostalgia yang dirakam semula hasil pilihan mereka sendiri dan syarikat rakaman.

Kata Azmi, setiap lagu yang dimuatkan mempunyai kesitimewaan tersendiri disamping memori buat semua anggota kumpulan tersebut.

"Pihak KRU Music memberikan kami hampir 20 lagu raya untuk dipilih dan akhirnya hasil daripada perbincangan ahli kami sebulat suara memilih sepuluh terbaik," katanya.

Antara lagu yang terkandung dalam album berkenaan adalah Dendang Perantau, Suasana Di Hari Raya, Balik Kampung, Suatu Hari Di Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf dan Cahaya Aidilfitri.

Album berkenaan turut memuatkan single terbaharu mereka berjudul Hanya NamaMu.
Caliph Buskers

Artikel Lain