suria

Kejayaan Seseorang Bukan Kerana Gelaran Datuk - Fizo Omar

Fizo Omar
PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar menganggap gelaran Datuk tidak menentukan taraf kejayaan seseorang individu, sebaliknya ia sekadar penghargaan duniawi.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 30, berkata, ukuran kejayaan seseorang hanya dapat dilihat daripada hasil usaha yang diperoleh dan ia dapat memberi manfaat kepada orang lain.

"Dalam perniagaan memang ramai yang mengejar gelaran Datuk untuk taraf yang lebih tinggi, namun pada saya bukan gelaran yang menunjukkan taraf kejayaan seseorang tetapi hasil usaha yang dilakukan.

"Pada saya, apa yang kita usahakan dapat memberi manfaat kepada orang lain itu lebih menentukan kejayaan bukan memandang pada status sahaja," ujarnya kepada mStar Online.

Jelas Fizo, dia lebih mengutamakan usaha untuk memajukan perniagaan dan menggalakkan lebih banyak usahawan muda agar mengikut jejak langkahnya.

Fizo kini sudah memiliki lebih 100 premis produk Hot Burger di Semenanjung dan kini dalam usaha mengembangkan cabang perniagaannya di bawah jenama FOC (Fizo Omar Company) antaranya khidmat perunding dan membuka kafe pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Fizo berkata, dia bakal menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang perniagaan mulai September depan di Universiti Utara Malaysia (UUM), kampus Kuala Lumpur.

"Saya ditawarkan untuk sambung belajar selepas menerima anugerah Pembangunan Usahawan Muda Selangor 2014 pada akhir tahun lalu.

"Saya akan menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dalam tempoh dua tahun di UUM bermula September ini, Insya-Allah selepas itu saya ingin teruskan pengajian di peringkat doktor falasafah (PhD)," katanya.
Fizo Omar

Artikel Lain