suria

Budi Citawan Minta Peminat Henti Kaitkannya Dengan Remy Ishak

Remy Ishak
PETALING JAYA: Anak kepada aktor Wan Hanafi Su iaitu Budi Citawan meminta peminat-peminat tegar Remy Ishak berhenti memberi komen-komen di Instagram yang mahu melihat mereka menjadi pasangan kekasih.

Budi berkata, dia terkejut dan pelik melihat reaksi agresif segelintir peminat Remy yang mahu mereka bercinta sedangkan masing-masing sudahpun mempunyai pasangan.

"Saya pelik dengan peminat Remy yang mahu melihat kami bersama sebagai pasangan kekasih sedangkan kami hanyalah kawan baik.

"Malah ada yang bergaduh dan mengkritik orang lain hanya kerana isu kecil ini. Sebelum ini pun ada gosip mengatakan yang kami bercinta, tetapi jujurnya tiada hubungan mesra diantara kami.

"Ingatkan dah tak ada gosip-gosip tentang kami, rupa-rupanya mereka masih lagi mengharapkan ada sesuatu yang terjalin di antara saya dan Remy. Kelakar rasanya," kata Budi kepada mStar Online.
Budi Citawan menjelaskan status perhubungannya dengan Remy di Instagram.


Budi diminta mengulas mengenai segelintir peminat fanatik aktor itu yang sering memberi komen ingin melihat mereka berdua menjadi pasangan kekasih.

Malah mereka turut mengutuk kekasih Remy iaitu Pengarah Urusan Roistz Labels, Roszaliza Yusof yang dianggap tidak sesuai dengan aktor itu.

Perkara itu membuatkan Budi memuat naik status di Instagram bagi menerangkan situasi sebenar diantara dia dengan Remy.

Sementara itu, Budi mengakui berasa kasihan terhadap Remy yang terpaksa berdepan dengan isu tersebut memandangkan dia seorang lelaki yang baik dan budiman.

"Sebagai seorang rakan, saya kasihan melihatnya berhadapan dengan peminat-peminat beremosi seperti ini dan saya harap mereka berhenti mengutuk orang lain.

"Janganlah tabur fitnah, tak cool lah. Biarlah masing-masing dengan hidup masing-masing. Only God can judge us (hanya tuhan boleh mengadili kami). Mujurlah saya akan berkahwin tidak lama lagi dan pasangan saya sangat memahami situasi ini," tuturnya.
Budi Citawan, Remy Ishak

Artikel Lain