suria

Artis Berhijab Perlu Patuh Tiga Perkara, Imej Tidak Ghairah - Nooh Gadut

Dari kiri: Erra Fazira, Ziana Zain dan Rozita Che Wan kelihatan lebih menawan selepas berhijab.
PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut memberi tiga garis panduan kepada selebriti tanah air yang telah berhijrah agar mereka dapat menjaga kesucian Islam sesuai dengan penghijrahan yang dilakukan.

Nooh berkata, tiga perkara itu ialah sentiasa menutup aurat, tidak berpakaian ketat dan tidak memakai pakaian jarang agar fesyen yang digayakan tidak memberi ghairah kepada orang ramai.

"Sewajarnya kita patut beri ucapan tahniah dan perghargaan kepada mereka kerana tranformasi serta penghijrahan dilakukan tetapi semua pihak harus mengambil perhatian bahawa aurat ini bukan sekadar menutup sahaja.

"Mereka juga harus memastikan bahawa pakaian yang dipakai tidak ketat dan jarang sehinggakan ia boleh menampakan susuk serta bentuk tubuh badan sesorang kerana ini akan menjadikan orang ghairah apabila melihat," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Nooh berkata demikian ketika diminta mengulas cara pemakaian artis berhijab yang menjadi buah mulut orang apabila ada diantaranya tidak mengikut imej sebenar sebagai wanita Islam.

Terbaharu, fesyen pelakon Rozita Che Wan semasa bercuti di Eropah dan imej Ziana Zain ketika menyertai pertunjukkan fesyen di luar negara menjadi perdebatan ramai kerana berpakaian ketat.

Nooh Gadut. Foto: Utusan Malaysia

Selain mereka berdua, pelakon Amy Mastura dan Erra Fazira juga turut mengikut jejak menutup aurat.

Dalam pada itu tambah Nooh, orang ramai di luar sana harus memberi ruang kepada seseorang artis ini untuk berubah secara berperingkat agar golongan berekenaan dapat memperbaiki diri masing-masing.

"Kita juga harus melihat bukan senang untuk seseorang melakukan sesuatu perubahan dan beri masa kepada mereka berubah secara berperingkat kerana rahmat Allah amat besar kepada orang yang telah berubah," katanya.

Dalam pada itu, Nooh berkata, penghijrahan yang dilakukan oleh seseorang individu perlu dilakukan secara berterusan (istiqamah).

Tambahnya, menutup aurat adalah menjadi satu kewajipan kepada perempuan ataupun lelaki mengikut panduan masing-masing kerana ia adalah hukum Allah.

"Saya berharap kepada yang yang dah berhijrah agar jangan putus asa dalam memperbaiki diri pada masa hadapan dan sentiasa istiqamah dalam menutup aurat.

"Sebagai seorang selebriti yang sentiasa menjadi ikutan ramai justeru teruskanlah melakukan perubahan secara berperingkat," katanya.
Noh Gadut

Artikel Lain