suria

Salwa Abdul Rahman Rakam Lagu Bola Sepak

Salwa Abdul Rahman
KUALA LUMPUR: Penyanyi Salwa Abdul Rahman bakal membuat kejutan dengan mengeluarkan dua single serentak yang ditujukan khas buat suaminya dan pemain bola sepak negara.

Salwa, 50, berkata, single terbaru yang berkonsep sukan bola sepak itu amat sesuai untuk suaminya Subadron Aziz iaitu bekas pemain kebangsaan negara.

“Saya masih aktif menyanyi dan terbaru akan tampil dengan dua single yang ditujukan khas untuk pemain bola sepak termasuk suami.

“Suami saya sekarang tengah mengusahakan akademi bola sepak dan saya rasa ini peluang terbaik untuk lancarkan single serentak dengan pelancaran akademi,” katanya kepada mStar Online.

Salwa membuat persembahan pada majlis pelancaran produk Sakurai, oleh Norras Resources.

Salwa ditemui di majlis pelancaran produk Sakurai oleh Norras Resources Sdn Bhd di Hotel The Royale Bintang, disini pada Jumaat.

Selain itu, Salwa berkata single berjudul Bintang Sukan Ku dan Bintang Di Sayang itu merupakan lagu asal Rahimah Rahim yang akan dirakamkan semula.

“Sebenarnya ini merupakan lagu lama yang dinyanyikan oleh Rahimah Rahim dan saya rakamkan semula serta memberi nafas baru mengikut peredaran masa.

“Lagu ini popular pada era 80an dan saya sendiri sangat mengemari lagu itu sewaktu muda dulu,” katanya.

Sementara itu, Salwa berkata lagu itu dibuat khas untuk bintang bola sepak kerana bekas suami Rahimah Rahim iaitu Mohamad Noh Hussein juga merupakan pemain bola sepak Singapura.

Tambah Salwa, dua lagu tersebut sudah pun dirakamkan dan dia berhasrat ia akan diputarkan di stadium sebelum perlawanan bola sepak berlangsung selepas ia dilancarkan.

Dalam perkembangan lain, Salwa kini masih aktif  untuk majlis korporat dan juga bakal tampil untuk beberapa program di TV3 sempena Hari Raya.

Sementara itu, mengenai produk Sakurai, ia dicipta khas daripada ekstrak bunga sakura yang optimum dan terbukti dapat memutihkan kulit secara semula jadi.

Produk ini mengandungi pati bunga sakura, buah beri, vitamin C bersifat anti-penuan dan kaya dengan khasiat antioksida.

Sakurai boleh didapati di stokis Kuala Lumpur, Kelantan, Singapura serta Indonesia dan ia dijual dengan harga RM229 untuk satu kotak yang mengandungi 15 bungkusan.


Salwa

Artikel Lain