suria

'Chowrasta' Diiktiraf Malaysia Book of Records, Filem Paling Ramai Ditonton

Datuk Rosyam Nor antara pelakon 'Chowrasta'.
SHAH ALAM: Filem Chowrasta diiktiraf dalam Malaysia Book of Records selepas berjaya mengumpul 4,460 orang penonton pada tayangan perdananya  di sini, malam Rabu.

Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA), Profesor Datuk A. Razak Mohaideen yang juga pengarah filem tersebut berkata, kejayaan diperolehi adalah 100 peratus usaha yang dilakukan oleh pelajar FiTA.

"Alhamdulillah, akhirnya Chowrasta berjaya diiktiraf kerana ia merupakan kejayaan tayangan filem yang ditonton paling ramai dalam satu masa.

"Kejayaan tersebut merupakan hasil usaha dilakukan sepenuhnya daripada pelajar FiTA yang melibatkan 60 orang pelajar dan 25 pensyarah. Mereka berganding bahu dalam merealisasikan tayangan filem ini," katanya kepada mStar Online.

A. Razak ditemui pada majlis malam tayangan perdana promosi filem itu  di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, di sini pada malam Rabu.

Antara artis yang hadir pada tayangan itu ialah Datuk Rosyam Nor dan Fauzi Nawawi.

Turut sama, Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri  Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

A. Razak Mohaideen (kiri) bersama Dr Sahol Hamid memegang sijil Malaysia Book of Records.

Tambahnya, filem ini merupakan hadiah kepada semua Alumni UiTM agar mereka mengingati semula jasa yang dicurahkan oleh UiTM sehingga berjaya melahirkan graduan berjaya.

"Filem ini merupakan hadiah kepada Alumni UiTM supaya mereka akan menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh UiTM dalam mengubah destini anak bangsa serta tidak melupakan jasa yang dicurahkan.

"Dalam kita  gairah mengejar cita-cita masa kini kebanyakan orang lupa dengan asal usulnya dan tidak pandang kebelakang semula untuk membantu orang memerlukan serta ada yang sanggup memperlekehkan tempat asal usul," katanya.

Dalam pada itu, A. Razak berkata, filem ini merupakan inspirasi dilakukan daripada buku Mencorak Destini yang mengisahkan mengenai  perjuangan hidup Hamid dalam memertabatkan bangsa melayu.

Selain itu, program ini juga merupakan sebahagian daripada Minggu KaryaOne anjuran FiTA yang menawarkan pelbagai aktiviti akademik seperti wacana, bengkel, seminar dan persembahan.

Selain Datuk Rosyam Nor dan Fauzi Nawawi, artis yang terlibat dalam filem ini ialah Chem Amar, Nora Danish, Ristina Munim, Safiah Hanifah dan Wan Hanafi Su.

Filem ini bakal menemui penonton di pawagam pada Disember depan dan pihak terlibat akan menjelajah ke 35 cawangan UiTM seluruh negara bagi mempromosikan filem ini.
Chowrasta, Razak Mohaideen

Artikel Lain