suria

"Pelakon Luar Tidak Wajar Dapat Ruang" - Azalina Othman

Azalina Othman dalam satu majlis bersama pihak media pada Rabu. Turut kelihatan Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baharu iaitu Datuk Seri Azalina Othman berpendapat syarikat produksi tempatan tidak wajar memberi ruang kepada pelakon-pelakon luar untuk terlibat dalam produk tempatan.

Azalina berkata, semua penggiat seni harus memberi keutamaan kepada artis tempatan dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi dunia perfileman negara.

"Saya tidak menentang orang luar tetapi biarlah kita utamakan produk tempatan. Kita keluarkan duit rakyat (geran) takkan nak ambil orang luar (berlakon).

"Apa yang saya lihat kita mempunyai pelakon-pelakon, pengarah dan kru yang berbakat. Kita perlu perbanyakkan penglibatan orang tempatan untuk memperkukuhkan lagi industri seni kita," katanya.

Azalina ditemui pada sidang media pertamanya sebagai pengerusi baharu Finas dengan pengamal media di Menara PNB di sini pada Rabu.

Hadir sama Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman.

Antara pelakon-pelakon luar yang berjaya mencipta nama di Malaysia pada ketika ini kebanyakannya dari Singapura seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Hisham Hamid, Shah Iskandar, Elfaeza Ul Haq, Nina Iskandar serta Randi Panggalila dari Indonesia.


Azalina Othman.

Dalam pada itu Azalina menegaskan industri perfileman tempatan   perlu lebih kreatif dalam menerapkan elemen kenegaraan bagi setiap karya yang dihasilkan.

"Kita mempunyai bakat-bakat besar dalam industri tetapi karya yang ada sangat kurang terutamanya yang berunsurkan kenegaraan.

"Tambahan pula industri kekurangan karya-karya berunsur sejarah. Jadi, bagaimana kita mahu mendidik anak-anak tentang sejarah jika tiada bahan untuk ditonton.

"Budak-budak zaman sekarang lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon bimbit dan gajet-gajet lain dan mereka lebih senang jika informasi yang diperoleh berbentuk digital.

"Elemen kenegaraan tidak perlulah disampaikan dengan filem-filem serius sebaliknya ia boleh diselitkan dalam genre-genre seram, cinta, komedi dan aksi mengikut karya yang diinginkan," ujarnya.

Sementara itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Johor berkata, perlantikannya sebagai Pengerusi Finas merupakan satu cabaran yang besar kerana banyak isu-isu berbangkit industri perfileman tempatan yang perlu diambil serius perlu diselesaikan.


Azalina ketika bertemu pihak media pada Rabu.

Malah Azalina mahu perbadanan itu bersifat mesra rakyat selain menekankan aspek transparensi.

"Saya telah berjumpa pihak NGO (badan bukan kerajaan) dan penggiat seni industri kreatif untuk membincangkan masalah-masalah yang berbangkit.

"Banyak juga isu yang perlu dilihat. Kalau boleh saya mahu tekankan aspek transparensi dan perlu ada satu pendekatan yang lebih responsif," tegasnya.

Terdahulu Azalina berkata, selepas dilantik memegang jawatan itu, beliau akan memilih ahli lembaga Finas yang baharu sebelum meneruskan usaha untuk melakukan perubahan terhadap perbadanan itu.

Azalina Othman, Finas

Artikel Lain