suria

Qierra Enggan Melatah Dituduh Tumpang Populariti Mark Adam

Qierra
KUALA LUMPUR: Penyanyi Qierra tidak melatah dengan pendapat sesetengah pihak yang menuduhnya menumpang popoluriti penyanyi Mark Adam apabila melakukan kolaborasi menerusi lagu Senyum Lagi.

Qierra atau nama sebenarnya Nur Sa'aidatul Shaqierra Saari, 21, berkata, pada dasarnya dia tidak merancang untuk berduet dengan penyanyi itu namun menggangap ia merupakan satu kerjasama yang baik bersama artis lain.

"Apabila berada dalam industri kita harus bekerjasama dengan orang lain dan tuduhan saya menumpang populariti itu tidak benar sama sekali.

"Sebenarnya pihak pengurusan yang merancang semua ini dan saya tidak tahu apa-apa mengenainya termausklah kolaborasi bersama Mark Adam," katanya kepada mStar Online.

Qierra

Qierra ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Senyum Lagi  di Heritage Club & Lounge, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur di sini, Selasa lalu.

Selain Mark Adam, turut hadir pada majlis itu, Dj Fuzz,  Lawa Ne Geng, Jeff (A to Z) dan Izzuwin Shah.

Ini merupakan album pertama Qierra yang memuatkan lima buah lagu iaitu Rama-Rama, Senyum Lagi, Cinta Tak Bersyarat, Sepi dan Darimu.

Tambah Qierra, orang ramai berhak untuk memberikan pendapat mereka mengenai isu tersebut dan sebagai artis, dia menggangap ia adalah perkara biasa yang harus ditempuhi.

"Ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi sebagai seorang artis kerana  kita tidak boleh mengubah perspeksi orang untuk memberi pendapat masing-masing.

"Sebagai artis baru saya perlu tabah menghadapi segala cabaran kerana apa yang berlaku adalah perkara baru dalam hidup saya," katanya.

Mengenai album terbarunya itu Qierra berkata tiga buah lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan adalah ciptaannya sendiri.

Qierra (kanan) bersama Mark Adam ketika menyampaikan lagu Senyum Lagi.

Selain menyanyi dan mencipta lagu dia juga mempunyai bakat dalam bermain beberapa alat muzik seperti saksofon, gitar dan biola.

Tambah Qierra, dia berharap agar album pertama yang menjadi pertaruhannya ini akan mendapat sambutan daripada peminat.

Mengenai kerjaya seninya Qierra pernah muncul dengan single pertama iaitu Sepi pada tahun 2012 tetapi lagu tersebut kurang mendapat sambutan kurang diberi promosi.

Namun dia bersyukur kerana lagu Senyum Lagi dapat diterima  pendengar.


Qierra, Mark Adam

Artikel Lain