suria

Jojie Akhirnya Bertemu Jodoh Pada Usia 50 Tahun

Jojie (kanan) bersama suaminya, Syahrizal.

PETALING JAYA: Setelah mencapai usia 50 tahun, akhirnya Jojie Aminuddin yang juga pengurus dan kakak kepada Ratu Rock Negara, Ella Aminuddin bertemu jodoh dengan usahawan serta pengurus acara, Syahrizal Ismail yang 14 tahun lebih muda daripadanya.

Rumahtangga pasangan itu dimeterai dengan akujanji akad nikah dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Ara Damansara, di sini, pada malam Jumaat.

Dengan hanya sekali lafaz Jojie atau nama sebenar Rozita sah bergelar isteri kepada Syahrizal, 36.

Jojie di samping Ella dan ibunya.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Jurunikah Mukim Subang, Ustaz Abdul Halim Abd Rahman kira-kira pukul 10.06 malam.

Jojie kelihatan tenang sepanjang upacara akad nikah berlangsung dengan ditemani ibunya, Yang Asmah Long dan adiknya sebagai pengapit pengantin.

Pada majlis itu Jojie menerima mas kahwin RM888 dan wang hantaran sebanyak RM20,000 daripada pengantin lelaki.



Dia turut menerima lima dulang hantaran antaranya sepersalinan baju, produk kosmetik Lameya, Al Quran, sirih junjung dan cincin.

Sementara tujuh dulang hantaran yang dibalas kepada pihak lelaki antaranya sirih junjung, sepersalinan baju Melayu, Al-Quran, jam tangan, minyak wangi, barangan kosmetik dan cincin.

Pada malam istimewa itu, Jojie tampil anggun dengan busana indah rona putih dan berseri dengan solekan oleh kakaknya iaitu jurusolek terkenal Saidatulnisa. 

Bertemakan warna putih, pelamin pasangan ini ditaja oleh L'mia Canopy & Wedding. 

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 150 tetamu yang terdiri daripada keluarga terdekat kedua-dua belah pihak, sahabat-handai dan rakan media. 


Majlis resepsi akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri. 

Pasangan ini menjalinkan hubungan percintaan selama setahun selepas berkenalan dalam satu acara hiburan membabitkan Ella.


Artikel Lain