suria

"Sebar Tuduhan Saya Peluk Islam Perbuatan Melampau" - Stacy

Stacy

PETALING JAYA: Penyanyi Stacy menyifatkan gurauan kononnya dia sudah memeluk agama Islam seperti yang tersebar di beberapa blog adalah tuduhan melampau.

Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 25, berkata, individu yang yang menyebarkan berita palsu itu sepatutnya perlu berfikir panjang sebelum menyebarkan memandangkan hal-hal berkaitan agama adalah perkara yang sangat sensitif.

"Saya tak tahu nak cakap apa. Tak kisah pun ya, geram pun ya. Sebelum ini saya pernah terpalit dengan khabar angin seperti ini tetapi bagi saya gosip kali ini agak melampau.

"Lebih-lebih lagi bab-bab berkaitan agama, kita tidak boleh main-main, ia agak sensitif terutamanya bagi masyarakat kita," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.

Foto seorang wanita kononnnya Stacy memasuki Islam tersebar di beberapa blog.

Pada malam Rabu, nama Stacy menjadi viral di laman sosial gara-gara beberapa portal menyebarkan berita palsu menerusi sekeping gambar  seorang wanita yang kononnya adalah Stacy sedang mengucap dua kalimah syahadah di depan seorang ustaz dan beberapa saksi lain.

Difahamkan, nama Stacy sengaja digunakan bagi menaikkan lagi rating pembaca blog walaupun wajah wanita tersebut tidak sama dengan penyanyi lagu Not For Sale itu.

Sementara itu, tambah Stacy, gara-gara berita palsu itu, keluarganya turut terkena tempias apabila kerap menerima panggilan daripada rakan dan keluarga jauh yang mahu mengesahkan perkara itu.

"Kalau terkena dekat saya seorang, tidak apa. Ini tidak, kasihan keluarga saya menerima panggilan sejak semalam (Rabu) sehingga ke hari ini (Khamis) yang hanya mahu mengesahkan sama ada saya masuk Islam atau tidak.

"Ia sekali gus memberi tekanan buat mereka yang tidak tahu apa-apa.

"Fasal kerjaya saya, tidak pula orang nak bertanya, apabila isu ini timbul, ramai pula yang telefon" ujarnya.

Sementara itu, Stacy berharap gurauan seperti itu tidak lagi terkena pada artis-artis lain kerana ia adalah satu perkara yang sangat serius.

"Kalaulah ada undang-undang yang boleh mengenakan tindakan individu-individu tidak bertanggungjawab seperti ini..," luahnya.

Stacy

Artikel Lain