suria

"Tiada Lagi Komen Negatif Selepas Saya Repot Polis" - Black Hanafiah

Black
PETALING JAYA: Penyanyi Black berkata, sejak membuat laporan polis terhadap individu yang memanggil anaknya beruk di Instagram, dia tidak lagi menerima sebarang komen-komen negatif oleh pengikutnya di laman sosial tersebut.

Black atau nama sebenarnya, Hanifah Hanafiah, 28, menyifatkan, tindakan tegas yang diambilnya itu membuatkan individu lain yang mungkin mempunyai sikap tidak bertanggungjawab berfikir dua kali sebelum memberi komen-komen berunsur negatif.

"Alhamdulillah, orang luar tidak lagi meletakkan komen-komen negatif terhadap gambar saya dan keluarga.

"Walaupun sebagai artis saya sepatutnya lebih terbuka dengan komen-komen negatif yang diterima, tetapi sebagai manusia, saya juga mempunyai hati dan perasaan di mana saya akan terasa apabila membacanya lebih-lebih lagi ia berkaitan dengan anak," katanya kepada mStar Online.
Black, isteri, Naquia Yasirah Mohd Khairi dan anaknya, Khaleef.

Black sebelum ini membuat laporan polis selepas seorang pengikut Instagram miliknya menggelarkan anak dia, Khaleef Dayyan yang lahir pada Januari lalu dengan panggilan beruk.

Kemudian penyanyi itu turut mendedahkan individu tersebut merupakan seorang pelajar universiti.

Individu tersebut yang merupakan seorang lelaki digesa untuk membuat permohonan maaf secara terbuka secepat mungkin sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Dalam perkembangan berkaitan Black berkata, individu itu masih lagi belum membuat permohonan maaf dan ia membuatkan dia akan terus mengambil tindakan saman. "Sehingga kini saya masih lagi belum menerima permohonan maaf daripada lelaki berkenaan.

"Malah saya syak dia membuka akaun Instagram lain dan mengutuk anak saya sama seperti sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu, Black berkata, sepatutnya artis-artis lain yang mempunyai masalah yang seakan sama dengannya perlu memandang  serius tentang perkara itu lebih-lebih lagi jika ia melibatkan keluarga.

"Saya percaya jika komen-komen negatif di alam maya ini diambil tindakan, pada masa akan datang tiada pihak yang senang-senang melemparkan tuduhan buruk kepada artis," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Black kini sedang sibuk menyiapkan lagu bersama Dayang Nurfaizah bersempena dengan sambutan Aidilfitri. Malah dia juga akan muncul dengan sebuah album baharu tidak lama lagi.
Black

Artikel Lain