suria

ABPBH 2014: Atilia Kesal Produksi Tak Hirau Masalah Mikrofonnya

Atilia bersama ibunya menyanyikan lagu Jelingan Manja.
PETALING JAYA: Penyanyi Atilia terkilan apabila persembahannya bersama ibu Salamiah Hassan di pentas Anugerah Bintang Popular 2014 pada Ahad lalu berhadapan dengan masalah teknikal.

Atilia atau nama sebenarnya Atilia Haron, 41, berkata, dia kesal perkara yang seharusnya diambil serius dalam acara besar itu dilakukan sambil lewa oleh pihak produksi sehingga mencacatkan persembahan mereka.

"Secara jujurnya memang saya rasa terkilan kerana produksi tidak ambil berat tentang masalah teknikal seperti itu sehingga menjejaskan persembahan kami.

"Bukan senang saya dan mama dapat buat persembahan di pentas seperti itu, sesekali dapat begini pula jadinya. Sudah tentu saya sangat kecewa, saya kasihankan mama yang benar-benar teruja untuk beri persembahan terbaik malam itu." ujarnya kepada mStar Online.

Atilia dan ibunya Salamiah Hassan tampil sebagai pasangan akhir dengan menyanyikan lagu Jelingan Manja selepas persembahan Ella bersama Korie dan Ayda Jebat bersama adiknya, Fina.

Bagaimanapun, mikrofon milik Atilia tidak berfungsi menyebabkan dia terpaksa berkongsi mikrofon bersama ibunya sepanjang menyanyikan lagu berdurasi tiga minit itu.

Atilia akhirnya terpaksa berkongsi mikrofon ibunya gara-gara masalah tenikal.

Lebih mengecewakan apabila tiada siapa pun yang bertindak menyelamatkan keadaan dengan memberi mikrofon lain kepadanya untuk meneruskan nyanyian.

"Mereka terlupa on mikrofon saya kerana ketika itu ada enam mikrofon yang digunakan, bila mereka sedar perkara itu, mereka takut untuk hidupkan salah satu kerana takut tersilap mikrofon lain di belakang pentas.

"Saya faham tentang itu, tetapi sepatutnya ada yang menyelamatkan keadaan memberi mikrofon lain kepada saya, tetapi tidak seorang pun yang peduli," ujarnya.

Bagaimanapun, Atilia berkata, dia terharu dengan komen dan sokongan peminat yang menganggap tindakannya menyelamatkan keadaan dengan berkongsi mikrofon bersama ibunya sebagai profesional.

"Alhamdulillah persembahan itu tidak menerima kritikan, malah ada yang anggap kami sweet kerana berkongsi mikrofon. Namun saya berharap selepas ini pihak penganjur perlu ambil berat tentang perkara itu.

"Jangan teralu ambil remeh tentang perkara melibatkan teknikal kerana ia boleh mencacatkan keseluruhan majlis," ujarnya.
Atilia, Salamiah Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain