suria

Zara Zya Tidak Anggap Ayda Jebat Rampas Populariti

Zara Zya

KUALA LUMPUR: Pelakon Zara Zya menganggap populariti yang diraih pelakon Ayda Jebat adalah satu lumrah yang perlu dilalui seseorang artis.

Zara, 30, berkata, dia tidak pernah berasa cemburu dengan kejayaan Ayda dan menganggap ia sebagai giliran rezeki untuk aktres itu.

"Saya dah pernah lalui apa yang dia menang itu dan populariti yang dikecapinya tahun lalu. Ia adalah lumrah artis.

"Kadang-kala kita di atas dan ada masanya di bawah. Bukan bermaksud sekarang saya sedang jatuh, tetapi tahun ini adalah rezeki dia pula," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pra kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014), di Hotel Royale Chulan, di sini, Selasa.

Zara berkata demikian ketika diminta pendapat tentang populariti pelakon Ayda Jebat yang semakin menonjol selepas  memenangi kategori Pelakon Baru dan Top Top Meletop (Wanita) di Anugerah Meletop Era 2015 (AME 2015) pada 22 Februari lalu.

Anugerah sama pernah dimenangi Zara Zya pada tahun lalu.

Dalam pada itu tambah Zara, dia juga tidak menganggap wanita itu merampas populariti dan namanya dalam industri lakonan.

Ayda Jebat meraih kemenangan pada Anugerah Meletop Era 2015 pada Februari lalu.

"Pada saya tiada isu dia gantikan tempat saya kerana ia adalah perkara biasa, tentang anugerah pula bagi kategori yang dia menang itu saya sudah memenanginya tahun lalu dan tidak mungkin pula saya bersaing dalam kategori sama iaitu pelakon baru sekali lagi.

"Masa saya menang dulu pun orang ada berkata saya gantikan pelakon itu dan ini, tetapi sebenarnya tidak ada istilah itu pun," ujarnya.

Zara berkata, dia turut gembira dengan kejayaan dan populariti Ayda dan berharap ia dapat mengekalkan namanya terus dalam industri seni tanah air.

Sementara itu, ditanya tentang popularitinya semakin merundum, pelakon itu berkata, kebanyakan drama lakonannya belum lagi ditayangkan di televisyen.

Zara berkata dia bakal keluar dengan drama berjudul Dan Calonnya Adalah yang  di Tonton pada April depan dan Hidayahmu Ramadan untuk slot Samarinda sempena Ramadan nanti.

"Mereka ingat saya menyepi dan merundum kerana saya sibuk berlakon tahun ini. Orang tak nampak produk saya keluar di televisyen lagi.

"Insya-Allah bermula April ini ada beberapa buah drama saya akan keluar," katanya.
Ayda Jebat, Zara Zya

Artikel Lain