suria

Liyana Jasmay Tidak Tergugat Kehadiran Pelakon Baharu

Liyana positif dengan kehadiran pelakon baharu yang disifatkan mampu merancakkan industri.

PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay tidak berasa tergugat dengan kehadiran pendatang baharu dalam bidang lakonan kerana percaya rezeki cukup luas untuk setiap orang.

Liyana, 26, berkata, sebagai seorang pelakon berpengalaman dia positif dengan kehadiran pelakon baharu kerana ia mampu merancakkan lagi industri di negara ini.

"Sepatutnya kehadiran pendatang baharu dalam industri kita pandang dari sudut positif kerana rezeki itu akan ada untuk semua orang.

"Pada saya lebih meriah industri hiburan kita dengan wajah baharu dan pelakon yang sudah lama dalam industri tidak perlu rasa tergugat," katanya kepada mStar Online.

Pelakon itu bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Isyarat Cinta arahan Bade Azmi yang turut menampilkan Adi Putra dan Fizo Omar.

Liyana bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Isyarat Cinta.

Isyarat Cinta mengisahkan percintaan pemuda bisu dan pekak dengan gadis buta itu bakal berada dipawagam bermula 19 Mac depan.

Malah kata Liyana, pada tahap sekarang populariti bukan lagi menjadi keutamaannya kerana ingin lebih memfokuskan kepada karya terbaik selain ingin mengorak langkah sebagai pengarah dan penerbit berjaya.

"Saya bermula dalam industri sejak berusia sembilan tahun dan telah merasai pelbagai pahit manis sebagai anak seni. Populariti atau ingin bersaing dengan orang lain bukan lagi keutamaan saya.

"Paling penting sekarang saya mahu menjadi lebih matang dan memperbaiki diri agar dapat memberikan terbaik dalam projek yang saya lakukan," katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai penglibatannya menerusi filem Isyarat Cinta, Liyana menjelaskan mengakui bukan mudah untuk membawakan watak sebagai seorang gadis buta dan itu adalah cabaran terbesar buat dirinya.

Bagaimanapun kata Liyana, sebelum memasuki set penggambaran dia sempat mempelajari sistem Braille di Youtube selain meninjau untuk menyelami kehidupan golongan tersebut.

"Persediaan itu pada saya sangat penting dalam menjayakan sesuatu watak dan tidak terkecuali untuk Isyarat Cinta yang memperlihatkan saya membawa peranan sebagai gadis buta.

"Saya belajar Braille dan melihat sendiri kehidupan golongan ini untuk menyelami watak saya dalam filem berkenaan dan berharap penonton dapat merasainya," ujarnya.

Liyana bergandingan dengan Fizo Omar dan Adi Putra dalam Isyarat Cinta. 

Tayangan Amal Perdana Hanya RM100 

Pada 4 Mac 2015, tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) akan diadakan di pawagam Cathay e-Curve, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Tiket eksklusif menyaksikan tayangan amal perdana ini ialah dari RM100 yang antara lain bertujuan mengumpul dana membantu mangsa-mangsa banjir di negeri Pantai Timur.

Penonton yang turut serta dalam projek amal ini akan berpeluang menjadi orang pertama menonton filem ini selain dapat bersamah mesra dengan artis.

Selain dapat menikmati makan malam percuma dan mendapat beberapa hadiah sampingan lain, sumbangan yang diberikan adalah untuk aktiviti kebajikan.

Untuk tempahan tiket dan sebarang pertanyaan mengenai tayangan amal ini bolehlah menghubungi 017-2429699 (Bohari) dan 012-2578884 (Amie).

Liyana Jasmay, Isyarat Cinta.

Artikel Lain