suria

Kontroversi Aweera, Mojo Tukar Strategi Di AJL29

Mojo terpaksa menukar strategi pada pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-29 yang bakal berlangsung pada 18 Januari depan.

PETALING JAYA: Ketua kumpulan Mojo, Edry Abdul Halim terpaksa menukar strategi pada pertadingan akhir Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) ekoran kekecohan melibatkan bekas vokalisnya, Aweera baru-baru ini.

Edry, 39, berkata, perubahan itu terpaksa dilakukan kerana perancangan yang dibuat sebelum ini diketahui umum biarpun pelbagai persiapan telah pun dibuat. 

"Perancangan persembahan yang bakal dilakukan sebelum ini telah pun diketahui umum lanjutan daripada penyingkiran Aweera daripada bertanding dalam pentas final AJL 29.

"Atas sebab itu kami terpaksa ubah semula strategi dan bermula daripada awal bagi memberikan elemen kejutan kepada penonton pada malam itu nanti," katanya kepada mStar Online.

Mojo bakal bertanding menerusi lagu Romancinta ciptaan Edry pada acara yang bakal berlangsung 18 Januari ini di Stadium Putra Bukit Jalil dekat sini.

Bekas vokalis kumpulan Mojo, Aweera.

Selain Mojo, 11 lagu lagu bakal bertanding termasuk Dayang Nurfaizah dengan lagu Di Pintu Syurga, Waris menampilkan Datuk Hattan (Gadis Jolobu), Najwa Mahiaddin menggantikan Yuna untuk lagu Lelaki, Indah Ruhaila (Percayalah), Alyah (Sesal Separuh Nyawa) dan Joe Flizzow menampilkan Sonaone (Apa Khabar).

Terdahulu, Aweera menyifatkan tindakan Edry menyingkirkannya daripada beraksi di pentas AJL 29 dan melemparkan tuduhan buruk terhadapnya sebagai sengaja menjatuhkan maruahnya.

Aweera menjelaskan dia bukan disingkir sebaliknya menarik diri daripada Mojo selepas Edry mahu dia bergandingan dengan Ryan pada pertandingan itu.

Dalam pada itu, Edry enggan mengulas mengenai strategi terbaharu kumpulan itu pada malam itu nanti termasuk sama ada vokalis terbaharu Mojo iaitu Ryan Brakhma akan beraksi di AJL 29.

Tambah Edry, Mojo menyasarkan untuk membawa pulang trofi utama acara tersebut dan akan memberikan persembahan terbaik pada malam itu.

"Tunggu pada malam itu nanti untuk lihat sendiri apakah bentuk persembahan Mojo dan sudah tentu kami inginkan kemenangan," ujarnya.

Aweera, Mojo, Edry Abdul Halim.

Artikel Lain