suria

Raja Azmi Bakal Anjur Festival Filem & Muzik Indie Terbesar

2015 bakal menjadi tahun paling sibuk buat Raja Azmi.
PETALING JAYA: Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman bakal menganjurkan Festival Filem dan Muzik Indie (FFMI) terbesar di Malaysia pada tahun hadapan.

Raja Azmi, 55, berkata, festival berkenaan dijangka bakal diadakan di Labuan, Sabah pada Ogos tahun hadapan dan dia sedang giat mencari penaja untuk merialisasikan projek terbaharunya itu.

"Idea untuk mengadakan festival ini tercetus selepas melihat karya Indie baik filem dan muzik mendapat sambutan hebat daripada peminat biarpun tidak bersifat komersial.

"Dari situ timbul idea untuk mengadakan sebuah acara bagi memberi penghargaan kepada semua penggiat seni Indie dalam sebuah festival besar-besaran," katanya kepada mStar Online.

Tambah Raja Azmi, penyertaan FFMI adalah terbuka kepada semua penggiat filem dan muzik Indie dan akan dinilai oleh juri profesional.

Dalam pada itu, Raja Azmi berkata, dia memilih Labuan sebagai lokasi utama kerana ingin memberi kelainan selain ingin mempromosikan sektor pelancongan pulau bebas cukai itu kepada pengunjung festival berkenaan.

Malah katanya, kebanyakan penaja yang bersetuju untuk menaja festival itu berpusat di Labuan selain turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.

"Alhamdulillah perjalanan saya untuk projek ini berjalan lancar apabila diberikan perjalanan untuk merialisasikan festival ini dipermudahkan biarpun pada peringkat awal hendak mendapatkan kepercayaan pihak penaja bukan mudah.

"Pun begitu sokongan daripada kerajaan negeri dan penaja setakat ini sangat baik dan Insya Allah beberapa lagi penaja menunjukkan minat untuk bersama-sama menjayakan acara ini," katanya yang memerlukan kos sebanyak RM1 juta untuk mengadakan festival tersebut.

Sementara itu, Raja Azmi berkata, sekiranya FFMI berjaya mencapai sasaran dia berhasrat untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan demi memberi pengiktirafan kepada penggiat seni Indie.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini tumpuannya lebih tertumpu untuk menjayakan festival pertama itu dengan cemerlang agar terus mendapat kepercayaan penaja pada masa hadapan.

"Kalau tidak berkeyakinan saya tidak akan berani untuk buat festival ini dan fokus sepenuhnya perlu diberikan agar penganjurannya bertetapatan dengan objektif utama.

"Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya akan menubuhkan seketeriat dan mengadakan satu sidang media khas bagi mengumumkan festival ini secara rasmi," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain