suria

Jenazah Seniman Mustapha Maarof Selesai Dikebumikan

Anak bongsu Allahyarham iaitu Mohd. Rezainuddin (dua dari kiri) menabur bunga di pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham seniman Datuk Mustapha Maarof, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di sini kira-kira pukul 3 petang Isnin.

Terdahulu jenazah Mustapha, 79, disembahyangkan di Masjid Bandar Baru Sentul di sini selepas dibawa keluar dari Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abdin, Wangsa Maju.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, teman rapat dan peminat seniman itu mengambil peluang memberi pemghormatan kepada Allahyarham.


Datuk Mustapha Maarof

Antara selebriti yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Datuk Yusof Haslam, Noorkumalasari, Datuk Maria Menado, Datuk A Rahman Hassan, Datin Sofia Jane, Datuk Rosyam Nor, Nabil Ahmad dan Zed Zaidi.

Jenazahnya disemadikan bersebelahan pusara isterinya, seniwati Roseyatimah yang meninggal dunia pada 1987.

Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL)  pada 25 November lalu selepas mengalami kesukaran bernafas akibat komplikasi paru-paru.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abdin, untuk rawatan lanjut dan meninggal dunia kira-kira pukul 8.50 pagi Isnin selepas hampir dua minggu di hospital itu.


Suasana di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, apabila orang ramai hadir mengunjungi pengebumian Allahyarham Mustapha Maarof.

Antara filem-filem lakonan beliau ialah Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Yatim Mustapha, Seri Mersing dan Naga Tasik Chini.

Allahyarham adalah anak kepada pengasas Malay National Bank, sebuah syarikat kewangan pertama untuk orang Melayu iaitu Maarof Zakaria yang mati dibunuh sekitar tahun 1947.

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak dan tujuh orang cucu.

Mustapha Maarof

Artikel Berikut

Artikel Lain