suria

Nidji Kagum Penyatuan Industri Muzik Malaysia

Nidji kagum dengan semangat dan penyatuan pemain industri muzik di Malaysia.

PETALING JAYA: Kumpulan terkenal Indonesia, Nidji kagum dengan penyatuan industri muzik di Malaysia dalam memperjuangkan karya tempatan berbanding di negara asalnya.

Vokalis utama Nidji, Giring ketika ditemui berkata, senario tersebut harus dikekalkan kerana kemuafakatan di kalangan pemain industri itu penting dalam memajukan industri muzik.

"Apa yang kami lihat tentang industri muzik di Malaysia adalah ia lebih bersatu dan harmoni yang barangkali tidak lagi wujud di Indonesia.

"Kami sentiasa gembira dapat kembali ke Kuala Lumpur dan bertemu dengan ramai orang industri yang rata-rata mempunyai semangat tinggi dalam memartabatkan industri muzik di Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Giring berkata, impian mereka untuk berkolaborasi dengan penyanyi dari Malaysia masih belum kesampaian dan berharap perkara itu akan terlaksana suatu hari nanti.

Jelas Giring, selain kagum dengan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mereka tertarik dengan gabungan Joe Flizzow dan SonaOne ketika mengadakan persembahan di pentas Anugerah Industri Muzik 21 (AIM 21) yang berlangsung 6 Disember lalu.

"Datuk Siti antara impian kami untuk berkolaborasi dan selepas melihat persembahan Joe Flizzow dan SonaOne kami ingin sekali mengenali muzik dan berkolaborasi dengan mereka," ujarnya yang turut meminati Bunkface.

Sementara itu, mengulas mengenai kegagalan mereka membawa pulang trofi di AIM 21 menerusi kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara, Giring mengakui mereka kecewa.

Ini kerana kata Giring, AIM 21 sangat berprestij dan sekiranya mereka berjaya membawa pulang trofi kategori itu ia memberi makna cukup besar kepada mereka semua.

"Sudah tentu kami berharap akan menang trofi tetapi malangnya ia bukan rezeki kami dan sekiranya diberi peluang kami akan mencuba lagi pada masa hadapan," ujarnya.

Nidji, AIM 21.

Artikel Lain