suria

4 Kategori Baharu Diperkenalkan Dalam Anugerah MeleTOP Era

Anugerah MeleTOP Era (AME) 2015 bakal berlangsung pada 22 Februari tahun depan. Foto UTUSAN

KUALA LUMPUR: Sebanyak empat kategori baharu akan diperkenalkan dalam Anugerah MeleTOP Era (AME) 2015 yang bakal berlangsung pada 22 Februari tahun depan.

Empat kategori baharu itu adalah Drama TV MeleTOP, Hos TV MeleTOP, Artis Lawak MeleTOP dan Pelakon TV MeleTOP menjadikan keseluruhannya adalah 18 kategori.

Penolong Naib Presiden Astro Ceria & Segmen Remaja, Hadzelynda Khairuddin berkata, penambahan kategori tersebut dibuat sebagai penambahbaikan untuk anjuran AME pada kali ini.

"Selepas membuat penelitian semula anjuran pertama AME, kami mengubah dan menambah sedikit beberapa susunan kategori bagi memantapkan lagi penganugerahan tersebut.

"Selain itu pihak kami ingin lebih ramai selebriti berpeluang untuk menang pada acara itu," katanya kepada mStar Online.

Yuna dicalonkan bagi kategori Penyanyi MeleTOP.
Hadzelynda berkata demikian pada sidang media Anugerah MeleTOP Era (AME) 2015 yang memperkenalkan 18 kategori pencalonan dalam majlis di Soju Bar Pavilion di sini pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Datuk AC Mizal dan Nabil Ahmad turut diumumkan sebagai hos anugerah itu.

Antara pencalonan kategori lain termasuklah Lagu MeleTOP Era, Penyanyi MeleTOP, Grup/Duo MeleTOP, Program Radio MeleTOP, Penyampai Radio MeleTOP, Filem MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP dan Fesyen MeleTOP.

Turut diperkenalkan Program TV MeleTOP, Bintang Online MeleTOP, Couple MeleTOP, Top Top MeleTOP (Lelaki) dan Top Top MeleTOP (Wanita).

Sementara itu, Hadzelynda berkata, pihaknya masih mengekalkan format penganjuran seperti sebelumnya dengan membuka penyertaan kepada semua syarikat televisyen dan radio tempatan, syarikat rakaman, syarikat produksi serta artis.

"Kami enggan mengubah format asal memandangkan ia masih lagi relevan untuk digunakan.

"Cuma, pihak kami akan memberi sedikit kelainan daripada segi persembahan dan gimik pada acara itu nanti," ujarnya.

Pasangan Awal Ashaari dan Scha Alyahya dicalonkan bagi kategori Couple MeleTOP.

Bagi pencalonan awal, pihak penganjur menyenaraikan nama 20 pencalonan bagi setiap kategori untuk membolehkan lima daripadanya tersenarai pada peringkat akhir.

Undian fasa pertama untuk memilih lima terbaik dibuka dengan cara undian secara dalam talian bermula 12 Disember 2014 hingga 11 Januari 2015 menerusi laman web www.meletop.com.my dan www.era.fm atau menerusi aplikasi Astro View.

AME bakal diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 22 Februari 2015 dan akan bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Ria, Maya HD dan Astro Hitz.

Anugerah Meletop Era 2015

Artikel Lain