suria

Aishah Aziz Enggan Tumpang Populariti Abang Sendiri

Aishah memberitahu belum masanya untuk berkolaborasi dengan abangnya, Aliff Aziz.

PETALING JAYA: Bekas peserta program Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), Aishah Azizi enggan melakukan kolaborasi dengan abangnya, penyanyi Aliff Aziz kerana tidak mahu dikatakan cuba menumpang populariti pemuda itu.

Aisyah atau nama sebenarnya Nur Aishah Aziz, 20, berkata, dia mahu mencipta nama sebagai penyanyi atas usahanya sendiri  dan bukannya kerana dia adalah adik kepada Aliff.

Rasanya perancangan untuk berduet dengan Aliff bukan cadangan sesuai buat masa ini kerana dia berada di tahap yang lain dalam industri.

"Tambahan pula saya tidak mahu dikatakan cuba menumpang popularitinya dan adalah lebih baik sekiranya saya berusaha sendiri untuk berjaya," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Aishah berkata, itu tidak bererti dia tidak mahu bekerjasama dengan Aliff sebaliknya memberitahu akan berbuat demikian selepas namanya semakin kukuh.

Aliff Aziz.

"Biarlah nama saya kukuh terlebih dahulu dan baharu fikir untuk berduet dengan Aliff. Bukan tidak mahu cuma belum masanya.

"Tapi kami ada bercakap mengenai hal ini tetapi ia lebih kepada perbincangan adik-beradik sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Aishah berkata, tahun 2015 bakal memperlihatkan karier nyanyiannya akan kembali rancak apabila dia bakal muncul dengan single terbaharu.

Jelas Aishah, dia juga berharap dapat merakamkan album penuh namun akan memberikan fokus kepada penghasilan single terlebih dahulu.

"Insya-Allah 2015 bakal menjadi tahun yang baik untuk karier saya selain single terbaharu juga akan dilancarkan," katanya.

Aliff Aziz, Aishah Aziz.

Artikel Lain