suria

Penerbit Filem Antara Punca Kes Buli - Wardina

Wardina minta pengiat filem hasilkan filem yang beri inspirasi kepada penonton.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah meminta agar penerbit filem-filem berunsur gengster supaya bertanggungjawab terhadap kes buli melibatkan pelajar sekolah yang semakin berleluasa di negara ini.

Wardina berkata, kebanyakan filem gengster yang ditayangkan memberi inspirasi kepada penonton untuk melakukan tindakan ganas sama seperti pelakon-pelakon popular di layar lebar.

"Pembikin filem gengster seharusnya bertanggungjawab kerana merekalah yang memberi inspirasi terhadap kes buli yang berlaku. Ya, memang mereka bukan penyebab utama tetapi ia adalah salah satu faktor menyemarakkan sikap agresif remaja untuk bertindak sedemikian.

"Pembuat filem seharus mendidik masyarakat, bukannya semarakkan sifat agresif remaja melalui penghasilan filem ganas seperti gengster," ujarnya melalui laman sosial Facebook miliknya, pada Rabu.

Tambah Wardina, penerbit filem tidak seharusnya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira terhadap kesan jangka panjang kepada masyarakat.

Jelasnya, alasan pada pengakhiran filem terselit pengajaran sekadar bagi mengurangkan rasa bersalah mereka kepada masyarakat.

"Kononnya ada pengajaran di penghujung cerita anda, tetapi realitinya tiada apa yang boleh dipelajari pada akhir cerita.

"Janganlah buat-buat tidak tahu dan buatlah cerita yang boleh memberi inspirasi dan menaikan semangat jati diri.

"Sebagai pekerja industri kreatif anda seharusnya ada banyak jalan untuk beri inspirasi kepada penonton dan jangan jadikan keuntungan sebagai agenda mutlak anda semua," ujarnya.

Wardina yang sedang menyambung pelajaran dalam bidang psikologi di sebuah universiti di Brisbane, Australia juga memberitahu keadaan tersebut memberi kesan terhadap tahap keganasan seseorang.

"Pembesaran kanak-kanak semuanya bermula daripada rumah, sedikit sebanyak filem-filem seperti itu menjadi punca utama yang mencorakkan perangai mereka ketika bergaul dalam masyarakat," ujarnya.

Pada awal minggu lalu, tersebar sebuah klip video kes buli yang telah menjadi viral di Facebook.

Klip video selama lima minit itu dirakam di asrama dan dipercayai berlaku di sekolah berasrama penuh, menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki sedang dipukul oleh rakan sekolah mereka.

Selepas itu muncul pula video seorang remaja dipukul rakan-rakannya sehingga cedera.

Wardina Safiyyah

Artikel Sebelum

Artikel Lain