suria

Seniwati Mariani Stabil Selepas 3 Hari Dirawat

Mariani dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit perut.

PETALING JAYA: Pelakon veteran seniwati Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail, 81,  berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Sentosa, dekat sini, tiga hari lalu.

Anaknya, pelakon dan pengarah Melissa Saila memberitahu, Mariani dibawa ke pusat perubatan itu pada pagi Selasa lalu selepas mengadu sakit perut biarpun selepas mendapat rawatan di klinik.

"Ibu saya memang sering mengalami gastrik,  tetapi pada Isnin lalu sakit dia tidak baik biarpun sudah makan ubat.

"Adik saya bawa ke klinik pada malam Isnin, selepas itu, keesokkan paginya pula saya bawa dia terus ke hopital kerana masih tidak baik. Saya risau sebab dia tidak makan beberapa hari," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Antara artis yang hadir melawat Mariani ialah Datuk Maria Menado, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez dan bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dalam pada itu, Melissa berkata, buat masa ini doktor masih membuat pemeriksaan lanjut selepas mengambil sampel darah bagi mencari punca sebenar penyakit tersebut.

Ditanya khabar angin kononnya seniwati tersebut menghidap penyakit kanser, Malissa menafikan perkara tersebut dan berharap spekulasi tentang penyakit ibunya tidak disebarkan sebelum disahkan oleh pihak doktor.

"Setakat ini doktor tidak beritahu apa-apa lagi dan masih buat pemerisaan lanjut tentang penyakit dia. Bagaimana orang luar boleh sebarkan khabar angin itu kerana saya sendiri tidak tahu.

"Saya harap jangan ada sesiapa yang buat spekulasi tentang penyakit ibu saya selagi tidak disahkan sendiri oleh pihak hospital," ujarnya.

Sementara itu, Melissa berkata, keadaan Mariani semakin baik dan sudah boleh bercakap dengan tetamu yang datang menziarahnya.

"Beberapa orang rakannya ada datang melawat, dia pun nampak semakin sihat dan sudah boleh bercakap dengan tetamu yang datang," ujarnya.

Mariani merupakan seorang seniwati Melayu terkenal yang juga kakak kepada biduanita Puan Sri Saloma.

Antara filem yang pernah dibintanginya ialah Tiga Abdul,  Saudagar Minyak Urat, Setinggan, Dendan Dari Pusara, Santau dan Puntianak Harum Sundal Malam II.

Mariani, Melissa Saila

Artikel Sebelum

Artikel Lain