suria

David Teo Selar Stesen Radio Enggan Putar Lagu Nyanyiannya

Inilah klip video Kacang.

PETALING JAYA: Penerbit filem Metrowealth International Group (MIG) David Teo berasa pelik apabila single lagu pertamanya berjudul Kacang tidak diterima baik oleh pihak stesen radio tempatan sedangkan ia mendapat sambutan di YouTube dengan jumlah lebih 112,000 tontonan.

David berkata, lagu yang turut menampilkan penyanyi Fida Ibrahim, Zarul dan Cat Farish itu hanya dimainkan selama seminggu di beberapa buah stesen radio menerusi segmen lagu baru tempatan dan kemudian ia tidak lagi ke udara.

"Mereka (pihak radio) menganggap lagu itu tidak mencapai piawaian seperti yang dikehendaki.

"Jika benarlah lagu saya itu biasa-biasa sahaja, tidak mungkin Kacang mendapat jumlah tontonan yang tinggi di YouTube, malah ia masih lagi ditonton sehingga kini. Malah liriknya juga sarat dengan mesej yang berguna buat masyarakat kita," katanya yang dihubungi mStar Online.

Tambah David, dia tidak terkilan pun dengan mana-mana stesen radio kerana menganggap Kacang sudah mencetuskan fenomena tersendiri walaupun hanya menerusi di YouTube sahaja.

David Teo


Bagaimanapun, David menyifatkan kebanyakan stesen radio di negara ini terlalu syok sendiri kerana memutarkan lagu-lagu yang diminati pihak stesen terbabit tanpa mengikut trend terkini di media sosial.

"Sebelum ini saya memberikan lagu Kacang kepada stesen radio untuk mereka jadikan ia sebagai eksklusif sebelum memuat naik klip video di YouTube. Malangnya ia hanya dimainkan untuk beberapa kali sahaja.

"Patutlah… baru saya faham mengapa ramai penggiat muzik berbakat hanya popular di laman sosial, tetapi tidak secara arus perdana.

"Sudah tiba masanya pihak radio mengubah format mereka mengikut cara media sosial yang lebih kemas kini berbanding cara mereka memilih lagu," tegasnya.

Sementara itu, David berkata, dia telah melaburkan sebanyak RM30,000 untuk lagu tersebut termasuklah kos pembikinan klip video bagi memberikan kualiti yang terbaik buat penonton yang menyaksikannya.
David Teo, Kacang

Artikel Lain