suria

AC Mizal Tubuh Kumpulan Pelawak ForUToC

AC Mizal (kanan) bersama para pelawak yang menjayakan album Havoc Raya.
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara Datuk AC Mizal menganggap penubuhan kumpulan ForUToC bukan sebagai pengganti kumpulan lamanya iaitu 4U2C, sebaliknya sebuah projek istimewa sempena Hari Raya ini.

AC atau nama sebenar Mizal Zaini, 42, berkata, kumpulan yang dianggotai oleh pelawak-pelawak terkenal tanah air seperti Shuib (Sepahtu), Rahim (Sepahtu), Ajak (Shiro), Achey, Abam (Bocey) dan Fard (Bocey) ini adalah bagi mengimbau kenangan dan mengubat kerinduan peminat-peminat terhadap kumpulan lamanya iaitu 4U2C.

"Saya ingin berkongsi pengalaman ketika bersama 4U2C dengan adik-adik saya daripada program Maharaja Lawak Mega lalu dan secara tidak langsung mengembalikan nostalgia itu kepada peminat-peminat 4U2C dahulu.

"Ini juga merupakan projek khas untuk Hari Raya ini yang mana kami sudah merakamkan dan memberi nafas baru kepada lagu Bergema Takbir Di Pagi Raya 2014 dengan muzik video sekali," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Album Havoc Raya dan Al Nuraa, di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia, di sini, malam Khamis.

Lagu ini akan dimuatkan dalam album Havoc Raya terbitan Sony Music bersama 16 buah kompilasi lagu raya dendangan pelbagai artis.

Dalam pada itu, AC berkata pemilihan pelawak tersebut adalah berdasarkan kebolehan mereka untuk menyanyi dengan baik.

"Kita memang pilih mereka kerana boleh menyanyi dan mereka mempunyai nada suara yang berbeza-beza setaraf dengan penyanyi.

"Kalau diikutkan dalam lagu ini mereka semua yang nyanyi dan saya hanya menyanyi bahagian rap sahaja," ujarnya.

Bagaimanapun, AC berkata, dia mahu kesemua pelawak tersebut tampil sebagai penyanyi profesional ketika persembahan tanpa membuat sebarang aksi lawak.
Dalam pada itu, ditanya tentang anggota kumpulan lama, AC berkata, masing-masing tidak akan berkecil hati dengan penubuhan kumpulan itu berikutan kesemuannya kini sudah mempunyai haluan hidup sendiri.

"Mereka tahu tentang projek ini dan tidak kisah kerana kalau saya penggil mereka semula untum menyanyi sekalipun mereka tidak akan mahu.

"Semua anggota 4U2U yang dahulu sudah ada haluan dan kerjaya mereka sendiri," katanya.

Tambahnya, biarpun kumpulan ForUToC ini baharu sahaja ditubuhkan, namun mereka sudah mendapat banyak permintaan persembahan nyanyian sempena Hari Raya nanti.

Katanya, ia juga bukan sesuatu yang mudah untuk mengumpulkan kesemua mereka bagi melakukan persembahan berikutan komitmen mereka terhadap kerjaya sebagai pelawak.

"Kumpulan ini baru ditubuhkan namun sudah dapat banyak permintaan persembahan untuk Syawal ini.

"Bukan mudah untuk kumpulkan mereka semua kerana masing-masing ada kumpulan lawak dan komitmen pada kerjaya lawak mereka," katanya.

Antara lagu raya yang terdapat dalam album Havoc Raya ialah Balik Kampung, Hooray Raya, Ayah Aku Rindu Pada Mu, Erti Aidilfitri dan Anugerah Syawal.

Sementara album Al Nuraa terdiri daripada lagu-lagu Al Nuraa nyanyian Mawi, Hazama dan Daly Filsuf, Takbir Cinta, Duniaku Dakwahku dan Bila Waktu Telah Berakhir.

Majlis berkenaan turut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.
ForUToC, Datuk AC Mizal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain