suria

Nas-T Belum Terbuka Cari Pengganti Nabila Huda

Nas-T mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonannya yang semakin meningkat.

PETALING JAYA: Pelakon dan bekas peserta program Fear Factor Malaysia (FFM2) musim kedua iaitu Nas-T berkata, hatinya masih belum terbuka untuk kembali bercinta selepas berpisah dengan aktres Nabila Huda.

Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 30, memberitahu dia bukan serik untuk kembali bercinta sebaliknya ingin memberikan fokus kepada dirinya terlebih dahulu selain membangunkan kerjaya seninya yang semakin berkembang.

"Bukan masalah serik tetapi saya ingin memberi tumpuan kepada diri sendiri kerana sebelum ini mungkin saya terlepas pandang tentang beberapa perkara terutamanya berkaitan kerjaya seni.

"Tambahan pula buat masa ini hati saya belum terbuka untuk kembali bercinta," jelasnya kepada mStar Online

Bagaimanapun kata Nas-T, sebagai seorang lelaki dewasa keinginannya untuk berumah tangga sentiasa ada namun tidak menetapkan sebarang sasaran dan menyerahkan perkara itu kepada takdir.

"Siapa yang tidak mahu berkahwin dan mempunyai keluarga tetapi soal cinta bukan boleh dipaksa-paksa dan Insya-Allah sekiranya dipertemukan dengan wanita yang sesuai pasti saya akan berkahwin," katanya.

Dalam pada itu, Nas-T menafikan dia seorang artis yang suka menjauhkan diri daripada pihak media namun dia sebenarnya tidak tahu memasarkan diri selain tidak mempunyai pengurusan dalam menguruskan kerjayanya.

Namun kata Nas-T, dia kini telah melantik seorang pengurus bagi melancarkan kerjayanya pada masa hadapan.

"Bukan sombong atau berlagak tetapi tiada orang yang boleh membimbing saya dalam memahami selok-belok industri membuatkan saya kelihatan seperti sukar didekati.

"Pun begitu saya telah melantik pengurus dan Alhamdulillah setakat ini perjalanan karier itu bertambah lancar dan tersusun," jelasnya. 

Sementara itu, Nas-T berkata, dia bersyukur sambutan hangat penonton dan peminat terhadap program FFM2 sedikit sebanyak meningkatkan jenama dan popularitinya sebagai seorang selebriti.

"Sebelum ini perjalanan karier saya tidak serancak selepas menyertai FFM2 dan Alhamdulillah rezeki kini bertambah dua kali ganda," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nas-T berkata, dia bakal muncul dengan drama bersiri Jauh Dari Cinta lakonan bersama Anzalna Nasir selain sebuah telefilem Abang Saya Ustaz terbitan MIG.

Nas-T, Nabila Huda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain