suria

Jaclyn Victor Main Teka-Teki Umum Kahwin

Jaclyn akan mengadakan satu sidang media khas pada 12 Ogos depan.

SERDANG: Penyanyi Jaclyn Victor yang sebelum ini dilaporkan mahu mengumumkan tarikh perkahwinannya bermain pula teka-teki mengenai hasratnya itu apabila memilih untuk mengadakan sidang media khas pada 12 Ogos depan.

Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 36,  mengunci mulut dan enggan memberitahu apakah tujuan sidang media itu diadakan.

“Saya tidak boleh komen apa-apa. Segala-galanya tunggu pada 12 Ogos nanti. Pada masa itu tanyalah apa-apa pun, saya akan jawab dengan sebaik mungkin," katanya kepada mStar Online.

Jaclyn ditemui pada sidang media pelancaran program Oh My English! (OME) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Serdang dekat sini, pada Rabu.

mStar Online pada 31 Mac lalu melaporkan penyanyi itu mendedahkan bakal mengumumkan tarikh perkahwinannya dalam satu sidang media yang akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri nanti iaitu pada Julai depan.

Terdahulu Jaclyn dalam satu entri laman sosial Instagram miliknya membuat pengakuan terbuka akan berumah tangga dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Jaclyn berkata, dia bukan cuba untuk berahsia tentang kehidupan peribadinya daripada pengetahuan umum namun masih belum masanya untuk dia berbuat demikian.

Kata Jaclyn, sebelum ini dia tidak mempunyai sebarang cerita yang ingin dikongsikan dan berharap peminat bersabar menanti pengumumannya pada Ogos depan.

"Saya bukanlah seorang yang terlalu berahsia dan sebab itu jarang cerita mengenai peribadi saya dipaparkan namun saya sudah sedia untuk menjelaskan segala-galanya pada majlis itu nanti," ujarnya.

Ditanya adakah dia akan memperkenalkan bakal suaminya pada hari tersebut, Jaclyn dengan ringkas menjawab; “Mungkin…"

Dalam perkembangan lain, Jaclyn berkata, dia teruja bakal muncul sebagai tetamu jemputan dalam program pendidikan OME apatah lagi dalam episod yang bertemakan muzikal.

OME musim ketiga bakal bersiaran pada 18 Mei ini pada setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di Astro TVIQ (610) dan Astro Maya HD (135).

Musim terbaharu ini bakal menampilkan barisan pelakon baharu seperti Nadiya Nisaa, Fauziah Ahmad Daud, Carmen Soo, Syafiq Kyle dan Amyra Rosly.

Selain itu watak-watak terdahulu seperti Jibam (Akhmal Nazri), See Yew Soon (Roax Tan), Mazlee (Zhafir Muzani), Anusha (Kaameshaa a/p Ravindran) serta Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) dan Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) masih dikekalkan.


Jaclyn Victor, Oh My English!.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain