suria

50 Artis Jual Barang 'Online' Berhimpun Dalam Satu Bazar

Sebahagian daripada artis yang akan terlibat dalam Mega Bazaar: Bazaar Usahawan Melayu Online Terbesar.

KUALA LUMPUR: Seramai 50 selebriti yang selama ini menjalankan perniagaan secara dalam talian (online) akan berkumpul untuk memasarkan produk masing-masing dalam acara yang dikenali Mega Bazaar: Bazaar Usahawan Melayu Online Terbesar.

Ia akan berlangsung pada 21 dan 22 Jun depan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dekat sini.

Menurut penganjurnya Iffah Zaimi dari Eh Eh Bazaar Sdn Bhd, para dengan adanya peluang itu para pengunjung boleh membeli-belah dengan nilai harga berpatutan selain dapat beramah mesra dengan selebriti kegemaran masing-masing.

"Kita dapat lihat sekarang ini, golongan selebriti juga tidak melepaskan peluang untuk menjalankan perniagaan mereka di laman sosial masing-masing.

"Dan mengumpulkan mereka di dalam sebuah bazaar pasti membuat ramai peminat menyerbu idola mereka," katanya kepada mStar Online.

Iffah ditemui pada majlis sidang media pelancaran projek berkenaan di restoran Serai, KL Life di sini pada petang Rabu.

Antara selebriti yang bakal menyertai jualan Mega Bazaar berkenaan termasuklah Neelofa, Mila Jirin, Afdlin Shauki, Mawi dan Ekin, Adira, Yana Samsudin, Eira Syazira dan Nabil Ahmad.

Tutut terlibat Mizz Nina dan suaminya, Noh (Hujan), Ameer (Fourteen), bintang bola sepak, Khairul Fahmi (Apex), Enot dan Heliza.

Mega Bazaar berkenaan juga turut melibatkan 1,000 usahawan Melayu dan ia merupakan bazaar dengan jumlah vendor paling ramai.

"Walaupun ia akan memberi persaingan antara satu sama lain, tetapi mempunyai vendor yang ramai pada masa sama dapat menarik pengunjung yang lebih ramai.

"Malah perniagaan online para penjual ini akan diberi perhatian khusus dan peluang yang lebih besar untuk memasarkan produk mereka ke tahap yang lebih tinggi," ujarnya.

Antara barangan yang akan dijual pada bazaar tersebut termasuklah aksesori beg tangan, cermin mata, kanta lekap, kasut,  produk kesihatan, produk kecantikan dan barang kelengkapan rumah.

Mega Bazar Artis

Artikel Lain