suria

Artis Popular Meriahkan Pelancaran Wajah Baharu mStar Online!

Selebriti yang hadir pada pelancaran wajah baharu mStar Online bergambar kenangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan The Star Publication, Datuk Seri Wong Chun Wai (empat dari kiri) dan Pengarang Eksekutif The Star/mStar Online, Rozaid A. Rahman. Foto IZZRAFIQ ALIAS.

KUALA LUMPUR: Barisan artis-artis popular tanah air memeriahkan majlis pelancaran wajah baharu mStar Online yang berlangsung di Alexis Gardens, Mid Valley, Bangsar di sini pada Khamis.

Bertemakan 'Summer Chic' kehadiran selebriti tempatan terutamanya artis wanita tampil bergaya dengan pelbagai imej menepati dengan konsep pada pelancaran petang itu.

Lebih 50 selebriti yang terdiri daripada penyanyi, pelakon, pengarah filem dan produser sama-sama menyokong pelancaran wajah baharu portal ini.

Antara artis yang hadir ialah Siti Saleha, Afiq Muiz, Nelydia dan Uqasha Senrose, Fouziah Gous, Atilia Haron, Raja Azmi, Natasha Hudson, Bella Dally, Ning Baizura, Dynas Mokhtar, Fazli Zainal, Faezah Elai, Hans Isaac, Nurul Wahab, Asfan, Kilafairy dan Josiah Hogan.

Anuar menyampaikan tiga buah lagu khas buat para tetamu yang hadir pada majlis pelancaran itu.

Turut kelihatan Intan Ladyana, Shuhaimi Lua, Iz Suliani, Kelly Azman, Gambit Saifullah, Halim Othman dan penyanyi versatil Salamiah Hassan.

Manakala ramai artis turut tampil bersama pasangan masing-masing seperti Yasmin Hani bersama suaminya Shahrin, Nelydia Senrose dan Qi Razali, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak, Azura Zainal dan Ibrahim manakala Fouziah Gous dan Zafrin.

Pelakon yang sedang hamil empat bulan, Rozita Che Wan hadir bersama anak sulungnya Ammar Effendy tanpa ditemani suaminya, Zain Saidin.

Penyanyi Salamiah Hassan (depan) dan Raja Azmi melihat wajah baharu mStar Online.

Bintang sukan yang bersama pula terdiri daripada Nazmi Faiz, Pandalela Rinong dan Ann Osman.

Sementara itu, Pelawak Shuib (Sepahtu), Jihan Musa dan Yus (Jambu) tampil pada petang itu menggeletek hati tetamu dengan telatah-telatah lucu dan gimik yang dipersembahkan mereka manakala Fahrin Ahmad bertindak sebagai pengacara.

Majlis yang bermula pada pukul 3 petang itu turut dimeriahkan dengan persembahan oleh Reez (AF), Alyah dan Anuar Zain.

Kemunculan Anuar mendapat sambutan hebat apabila penyanyi itu menyampaikan tiga buah lagu iaitu Keabadian Cinta, Sesuci Cintamu dan Sedetik Lebih.

Penyanyi Iz Suliani (kiri) dan pelakon Siti Saleha (kanan) terpilih untuk menerima tiket penerbangan percuma tajaan AirAsia. Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai (dua dari kiri), Pegawai Khas Kepada Pengerusi Eksekutif AirAsia, Edd Razhe (tengah) dan Rozaid A. Rahman, Pengarang Eksekutif The Star/mStar Online (dua dari kanan).

Dalam perkembangan lain, kebanyakan artis menyukai wajah baharu mStar Online yang diperkenalkan pada awal Mac lalu.

Ia disifatkan lebih mesra pembaca selain artikel yang ditampilkan menarik dan terkini. Pelancaran wajah baharu dengan tagline ‘Meraikan Aspirasi Dunia Maya’ ini dijangka mampu menarik lebih ramai golongan muda khususnya penggemar media digital kerana reka bentuknya lebih interaktif.

Apa kata mereka mengenai mStar Online:

"Saya gembira mStar Online telah melangkah ke arah kematangan dalam menyampai berita kepada pembaca. Saya suka dengan perkembangan ini". - Faezah Elai


"Perubahan wajah baru mStar semestinya membuatkan pembaca tidak bosan melihat 'layout' yang dipaparkan ketika membaca berita-berita yang dipaparkan". - Afiq Muiz.



"Berita mStar Online yang cepat dan tepat membuatkan saya antara pembaca setia portal ini. Saya lebih senang dengan berita yang pendek tetapi mempunyai isi yang mencukupi."  - Natasha Hudson.


"Semoga perubahan wajah baharu mStar dapat memberikan kelainan selain menambah jumlah pembaca. Saya yakin mStar Online dapat mencapai kejayaan yang luar biasa berbanding portal lain". - Atilia Haron.



"Lapan tahun mStar Online ditubuhkan, saya percaya portal ini akan menjadi antara portal popular kerana informasi semasa yang padat tidak kira daripada segi sukan, berita dan hiburan." - Nazmi Faiz.

Artikel Lain